suria

Fahmi Fadzil arah Nadi rancang program keselamatan ‘online’ dalam tempoh seminggu

Fahmi menegaskan keperluan ibu bapa memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan anak-anak dalam dunia maya.

PENGURUS dan penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) diberi tempoh seminggu untuk merancang program keselamatan dalam talian khusus untuk ibu bapa, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi menegaskan, tumpuan kempen perlu diberikan kepada usaha mencegah dan mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

Namun begitu, latihan serta elaun akan ditamatkan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Beliau turut memaklumkan bahawa elaun pengurus dan penolong pengurus Nadi telah dinaikkan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka kepada masyarakat.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak menjadikan gajet sebagai pengganti untuk mendidik atau meluangkan masa bersama anak-anak.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif memantau apa yang ditonton dan diakses anak-anak di media sosial.

"Apabila anak diberikan gajet, telefon atau tablet, adalah tanggungjawab ibu bapa untuk tahu apa yang mereka tonton," tegasnya.

Fahmi berkata, kementeriannya akan terus memantau aktiviti keselamatan siber di peringkat komuniti bagi memastikan orang ramai lebih peka terhadap bahaya media sosial terhadap kanak-kanak.

Artikel Lain