MALAYSIA terus mengukuhkan reputasinya sebagai sebuah negara dagangan yang unggul di pentas antarabangsa.
Dengan kedudukan ke-24 sebagai negara perdagangan terbesar dan ke-25 sebagai negara pengeksport terbesar di dunia, pencapaian ini mencerminkan kecekapan logistik dan kelebihan daya saing negara.
Eksport telah lama menjadi tunjang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, bukan sekadar sebagai penjana pendapatan negara, malah sebagai nadi pembangunan yang menyeluruh.
Pada tahun 2024, Malaysia merekodkan jumlah eksport mencecah RM1.51 trilion, didorong terutamanya oleh tiga sektor utama iaitu produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan minyak sawit.
Ketiga-tiga sektor ini bukan sahaja memberi impak besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi turut memacu penciptaan pekerjaan dan pelaburan berimpak tinggi.
Momentum ini terus berkekalan ke tahun 2025, dengan dalam tempoh lapan bulan pertama, nilai eksport negara meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM1.03 trilion, melepasi paras psikologi RM1 trilion lebih awal daripada jangkaan.
Prestasi ini mencerminkan ketahanan ekonomi Malaysia di sebalik ketidaktentuan global, termasuk cabaran geopolitik, perubahan iklim dan ketidaktentuan pasaran komoditi.

Reezal Merican berkata NEA 2025 merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada para pengeksport negara.
Justeru, selari dengan kejayaan eksport negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merasmikan pra-peluncuran Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025, satu inisiatif bersejarah yang bertujuan mengiktiraf syarikat-syarikat pengeksport tempatan yang cemerlang dan berwawasan.
Menurut Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, NEA 2025 bukan sekadar acara penghargaan, malah ia merupakan platform untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport terkemuka di pentas antarabangsa.
"Anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada para pengeksport kita yang telah menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara sejak sekian lama.
"Ia bukan sahaja satu pentas untuk menonjolkan kecemerlangan industri, tetapi juga merupakan satu tanda penghargaan yang besar daripada kita untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan tentunya Menteri kita, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Merekalah yang berada di barisan hadapan, tanpa jemu dan lelah mengadakan pertemuan dua hala serta rundingan dengan pemimpin-pemimpin dunia, terutamanya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang sangat rapuh dan tidak menentu sepanjang tahun ini," ujarnya ketika majlis pra-peluncuran NEA 2025 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Tambah Reezal Merican, komitmen kerajaan dalam memperkasa eksport turut diterjemahkan menerusi Belanjawan 2026, baru-baru ini.
"Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan RM60 juta bagi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) kepada MATRADE untuk memudah cara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeksport ke pasaran sedia ada dan baharu, menyokong inisiatif Malaysia Go Global (MGG) dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Di sebalik angka-angka ini, terdapat kisah pengiktirafan usahawan PKS, syarikat pemula fintech, dan usahawan bumiputera, belia, dan wanita yang berani menerokai pasaran antarabangsa. Kesemua mereka ini adalah wira eksport negara.
"Malaysia kini bukan lagi sekadar negara yang mengeluarkan bahan mentah dan tenaga kerja kos rendah, tetapi usahawan kita telah mendapat kepercayaan komuniti perniagaan antarabangsa daripada segi design thinking, ketelusan peraturan, serta keupayaan menyediakan end-to-end solution bernilai tinggi," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, para pemenang anugerah akan menerima insentif yang akan diumumkan kemudian kelak.
"Jadi itu secara tidak langsung menggalakkan lagi syarikat-syarikat lain menjadikan mereka contoh," ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof, Mansor Shah Wahid; Ahli Lembaga Kanan MATRADE, Datuk Hazimah Zainuddin; Pengarah (Eropah & Timur Tengah) Bahagian Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Dua Hala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Zaireen Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Star Media Group, Lydia Wang.
Dengan tema 'Menghargai Kecemerlangan, Memacu Perdagangan Global', NEA 2025 menzahirkan visi perdagangan Malaysia yang menyeluruh dan inklusif.

Reezal Merican (tengah), Mohd Mustafa (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group Berhad (SMG), Chan Seng Fatt (tiga,kiri) selepas pra-pelancaran NEA2025.
Tidak hanya mengetengahkan syarikat-syarikat yang mengembangkan pasaran eksport, tetapi melaksanakannya dengan tanggungjawab kepada kelestarian alam sekitar, amalan perniagaan beretika seterusnya memberi nilai tambah jangka panjang kepada negara.
NEA 2025 menampilkan tujuh kategori anugerah bagi mengiktiraf kecemerlangan meliputi pelbagai saiz syarikat dan demografi iaitu Pengeksport Terbaik bagi syarikat besar, Pengeksport Terbaik bagi syarikat multinasional dan Pengeksport Terbaik bagi syarikat pertengahan.
Anugerah turut merangkumi Pengeksport PKS Terbaik bagi kategori baharu, bumiputera, belia dan wanita.
Penerima akan dipilih melalui penilaian yang teliti berdasarkan nilai eksport, pencapaian pasaran, amalan kelestarian dan trajektori pertumbuhan.
Proses penilaian akan disahkan oleh firma audit profesional dalam memastikan ketelusan dan pengiktirafan berasaskan merit selaras dengan amalan terbaik global.
Anugerah julung-julung kali ini akan berlangsung pada 5 Disember, dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk maklumat lanjut mengenai NEA 2025, layari nea.com.my


