suria

Keluarga Mustaqqeem pertimbang ambil tindakan undang-undang - “Tak puas hati pasal apa tinggalkan dia”

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut pada Sabtu. -Foto Bernama

KELUARGA Allahyarham Mustaqqeem Mansor, pendaki yang ditemukan maut di puncak Gunung Liang, Perak, meluahkan rasa curiga berhubung insiden yang berlaku.

Meskipun reda dengan kematian anak sulung daripada tiga beradik itu, namun ibunya, Rohani Saad, 65, berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci.

Menurut Rohani, dia dimaklumkan bahawa rakan-rakan pendakian arwah Mustaqqeem melakukan gerak cari selama lebih enam jam, namun tidak menjumpai mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana ‘sweeper’, MGP? Komuniti ‘hiking’ persoal kes pendaki Gunung Liang ditemukan maut, tergamak tinggalkan seorang diri

"Pihak bomba naik cari, dalam tiga jam terus jumpa Allahyarham di puncak gunung itu dan katanya dia (Mustaqqeem) memang ada di situ (puncak) sahaja.

"Kami reda dan ini ketentuan-Nya, yang kami tak puas hati pasal apa hangpa (mereka) tinggalkan dia (atas gunung) dan langsung tidak buat laporan polis atau maklumkan kepada bomba.

"Kami ahli keluarga akan berbincang selepas ini, antaranya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian itu," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian. 

Terdahulu Allahyarham Mustaqqeem selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Kepala Batas di Pulau Pinang pada pagi Sabtu.

Allahyarham ditemukan pada pukul 3.30 petang Khamis di puncak Gunung Liang dalam keadaan tidak bernyawa, selepas memulakan pendakian bersama 10 rakannya pada 10 Oktober lalu dari Bukit Fraser, Pahang.

Dia kali terakhir dilihat pada 14 Oktober sekitar pukul 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Jenazahnya dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang Jumaat.

Untuk rekod, Mustaqqeem, 34, yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat mula berkecimpung dalam aktiviti mendaki sejak awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya lima gunung di Malaysia telah ditawan sebagai persiapan untuk ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Nur Faratin Mohd Othman kira-kira lima tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.

Artikel Lain