BEBERAPA tragedi berdarah dan masalah sosial remaja yang menggemparkan institusi pendidikan negara membuatkan masyarakat menggesa supaya hukuman rotan dikembalikan di sekolah.
Hal itu turut menjadi perdebatan dalam Dewan Rakyat pada Khamis apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mengajukan soalan mengenai cadangan agar guru di sekolah diberikan budi bicara untuk mengenakan hukuman rotan kepada pelajar bagi menangani isu disiplin.
Menjawab pertanyaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ramai pendidik dan ibu bapa berasakan hukuman rotan itu mempunyai keperluan dengan ia ditugaskan kepada guru tertentu.
Beliau yang turut berpandangan hukuman rotan harus dikembalikan berharap agar ia dilakukan dengan syarat ketat sekali gus dapat menangani isu disiplin membabitkan pelajar.
Tambah beliau, pelaksanaan perlulah dilakukan di bilik khas atau bilik disiplin selain mempertimbangkan jumlah rotan yang dikenakan.
"Saya pernah menjadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak (murid) saya dah rotan... tapi di tangan.
"Ada juga pandangan lain... umpamanya daripada kumpulan hak asasi yang berasakan ini termasuk dalam kategori penderaan anak-anak.
"Saya faham kontroversi itu," katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu bimbang mengenai perihal rotan di sekolah.
"Kenakalan anak-anak ni satu perkara yang biasa. Tapi apabila dia langgar peraturan yang agak berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan, bukan dasar kerajaan.
"Saya percaya (hal ini) harus dipertimbangkan, diperhalusi dan dilakukan libat urus dengan semua pihak yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) sebelum kita muktamadkan.
"Saya hanya beri pandangan peribadi kerana saya fikir bukanlah dia (hukuman rotan) masuk kategori penderaan," tambah Anwar.


