ISU tidak menutup aurat dengan sempurna menjadi punca salah faham hingga membawa kepada pergaduhan antara seorang ahli perniagaan dan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka pada Selasa.
Kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu tular di media sosial selepas rakaman pertengkaran mereka di kawasan masjid dimuat naik dan dikongsi oleh orang ramai.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, lelaki berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur itu datang ke masjid bersama isterinya untuk menunaikan solat Zohor.
Namun berlaku pertengkaran dengan pengawal keselamatan yang didakwa tidak membenarkan mereka masuk ke kawasan masjid.
Menurutnya, laporan polis yang dibuat pengadu menyatakan pengawal keselamatan itu menegur pasangan berkenaan kerana wanita itu tidak memakai tudung, namun pengadu mendakwa isterinya menutup kepala menggunakan sweater.
Katanya, pertengkaran itu menjadi tegang apabila kedua-dua pihak meninggikan suara sebelum berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk sehingga menyebabkan pengadu mengalami kesakitan pada bahu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara kedua-dua pihak.
“Difahamkan, pengadu telah tiga kali mengunjungi masjid berkenaan dan setiap kali ke sana, dia mendakwa ditegur serta dimarahi oleh pengawal keselamatan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dia menjelaskan pada kunjungan ketiga, teguran tersebut mencetuskan pertengkaran sebelum insiden berlaku dan tular di media sosial.
“Bagaimanapun, pengadu kemudiannya menarik balik laporan berkenaan dan bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik. Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya. -The Star


