SEORANG wanita dan anak lelakinya maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, berhampiran Simpang Renggam, Johor pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil, van kilang jenis Mazda dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan awal mendapati Perodua Kancil yang dipandu wanita berusia 51 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 15 tahun dan sembilan tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Kampung Bukit Kenangan.
"Perodua Kancil itu kemudian berhenti untuk membelok ke simpang kanan sebelum van kilang yang dipandu lelaki berusia 53 tahun dari arah sama dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, Perodua Kancil terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun. Van itu turut melanggar pacuan empat roda terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bahrin berkata, pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan iaitu anak lelakinya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala penumpang belakang cedera parah di kepala dan kaki kiri.
Katanya, pemandu van kilang mengalami kecederaan di muka, dada dan kaki kanan, manakala pemandu Hilux hanya cedera ringan di badan serta tangan kanan.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


