SEORANG lagi anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) cedera selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan ketika mengiringi konvoi delegasi Brazil sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, pada Ahad.
Insiden pada tengah hari itu berlaku di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur berhampiran susur keluar ke Jalan Kinabalu, apabila motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara mengejut.
Rakaman video [Tonton Video] memaparkan detik kemalangan itu tular di media sosial, menunjukkan anggota trafik berkenaan terbaring di tepi jalan berdekatan susur masuk ke Pusat Perdagangan Dunia (WTC).
Sementara itu, seorang lagi anggota dilihat sedang membantu mengalihkan motosikal yang terbalik di tengah jalan.
Motosikal ditunggang anggota terbabit mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.
Kemalangan berkenaan merupakan insiden kedua melibatkan anggota polis trafik yang bertugas mengiringi konvoi delegasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung di ibu negara dari Ahad hingga Selasa.


