PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman menarik bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum berlangsungnya majlis menandatangani deklarasi bersama mengenai Perjanjian Damai antara Thailand dan Kemboja, pada Ahad.
Anwar mendedahkan insiden tidak dijangka berlaku apabila Trump menjemputnya menaiki kenderaan rasmi Presiden AS yang dikenali sebagai The Beast.
Menurut perdana menteri, Trump bertindak di luar kebiasaan apabila melanggar protokol sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Ahad kerana secara spontan mengajaknya menaiki kenderaan tersebut bersama.
“Trump gembira dapat melanggar peraturan. Ia merupakan perjalanan yang menyeronokkan,” katanya ketika berucap sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Anwar juga berseloroh dengan menyifatkan beliau dan Presiden AS itu mempunyai banyak persamaan.
“Salah satunya ialah saya pernah dipenjara, dan dia hampir ke sana,” katanya.
Trump tiba di Malaysia dengan menaiki pesawat Air Force One yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.48 pagi Ahad.
Presiden AS itu juga sempat berinteraksi dengan sekumpulan penari kebudayaan sejurus pesawat membawanya mendarat.
Trump dilihat mengangkat kedua tangannya sambil menggerakkan tubuh sewaktu menyaksikan persembahan itu.


