suria

Ibu terkejut, anak umur 6 tahun dikelar ketika tidur

Pisau antara senjata yang kerap digunakan penjenayah. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki cedera dikelar ketika tidur dalam kejadian di rumahnya di sebuah kampung di Parit Raja, Johor pada Isnin.

Ketika kejadian, hanya ibu bapa serta abang dan kakak mangsa berada di rumah, dengan insiden tersebut disedari oleh ibunya yang berusia 40 tahun.

Mangsa berusia enam tahun adalah anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan bernasib baik kerana tiada saluran darah utama yang terputus.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kanak-kanak cedera di leher dipercayai akibat dikelar dengan senjata tajam kira-kira pukul 9 pagi.

“Ketika berada di rumah, wanita berkenaan tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya mengalami kecederaan di bahagian leher,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Beliau menjelaskan, siasatan masih di peringkat awal bagi mengenal pasti motif kejadian.

Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mencemar reputasi pihak tertentu akibat salah tafsir orang ramai.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak menularkan gambar mangsa kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2002.

Artikel Sebelum

Artikel Lain