suria

Akaun media sosial: Had umur 16 tahun lindungi kanak-kanak daripada eksploitasi digital

Akses internet membolehkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira umur berhubung tanpa batasan.

CADANGAN kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi membuka akaun media sosial disifatkan langkah tepat dalam melindungi golongan muda daripada risiko eksploitasi dan kandungan berbahaya di alam maya.

Pakar Pendidikan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia, Azlina Kamal berkata isu keselamatan digital dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan berikutan peningkatan kes buli siber, penyalahgunaan data peribadi dan pemangsaan seksual dalam talian.

“Pendedahan awal terhadap media sosial tanpa kawalan boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi dan mental kanak-kanak.

"Walaupun internet menyediakan peluang pembelajaran dan interaksi sosial, ia juga membuka ruang kepada bahaya yang perlu ditangani segera,” katanya kepada mStar.

Piawaian global

Mengulas lanjut, Azlina berkata langkah Malaysia itu sejajar dengan piawaian global perlindungan kanak-kanak yang digariskan UNICEF serta rangka kerja WeProtect Model National Response.

“UNICEF bekerjasama dengan kerajaan di seluruh dunia bagi memperkukuh undang-undang dan dasar yang memastikan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), tidak mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak.

"Langkah Malaysia ini selari dengan usaha global ke arah keselamatan digital kanak-kanak,” katanya.

Azlina memakumkan usaha Malaysia meningkatkan had umur pengunaan media sosial sejajar dengan piawaian global.Azlina memaklumkan usaha Malaysia meningkatkan had umur pengunaan media sosial sejajar dengan piawaian global.

Beliau berkata, dasar yang digubal perlu bersifat seimbang memupuk inovasi teknologi sambil memastikan hak dan kesejahteraan kanak-kanak terus terpelihara.

Menurut Azlina, pendedahan terlalu awal kepada dunia digital boleh membawa pelbagai bentuk risiko termasuk manipulasi kandungan, eksploitasi seksual serta tekanan sosial akibat budaya perbandingan di media sosial.

“Kanak-kanak mudah terdedah kepada iklan dan algoritma yang boleh mempengaruhi emosi serta pandangan mereka terhadap diri sendiri dan masyarakat.

"Pendidikan serta pemantauan ibu bapa amat penting bagi memastikan penggunaan digital yang sihat,” katanya.

Golongan berusia 16 tahun ke bawah wajar dilindungi. –Gambar hiasan (IZZRAFIQ ALIAS / SMG)Golongan berusia 16 tahun ke bawah wajar dilindungi. –Gambar hiasan (IZZRAFIQ ALIAS / SMG)

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan literasi digital dalam kalangan penjaga, guru dan penguat kuasa supaya mereka lebih bersedia mengenal pasti dan menangani kes keganasan serta eksploitasi dalam talian.

UNICEF, katanya, terus komited menjadikan dunia digital lebih selamat untuk kanak-kanak dengan bekerjasama bersama kerajaan dan syarikat teknologi bagi menggalakkan amalan perniagaan bertanggungjawab.

“Setiap kanak-kanak mesti dilindungi daripada keganasan, eksploitasi dan penyalahgunaan di internet dengan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak kerajaan, industri, pendidik, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Ekosistem digital selamat

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata cadangan pelaksaan had umur tersebut wajar bagi menangani kebimbangan khususnya dalam kalangan ibu bapa dan guru.

Dr Mohamad Ali memaklumkan cadangan had umur menangani kebimbangan ramai terutama ibu bapa.Mohamad Ali memaklumkan cadangan had umur menangani kebimbangan ramai terutama ibu bapa.

"Had minima pengguna media sosial yang bakal dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan bertujuan menyekat kebebasan pelajar.

"Sebaliknya mewujudkan ekosistem digital selamat daripada ancaman siber, penipuan dalam talian dan kandungan tidak bermoral yang semakin berleluasa.

"Beberapa isu turut perlu diberi perhatian termasuk keperluan menapis kandungan berunsur ganas, seksual dan yang bertentangan dengan nilai budaya Timur serta undang-undang syariah," katanya.

Tambah beliau, had umur pengguna media sosial amat penting bagi mengawal penggunaan gajet dalam kalangan pelajar dan remaja, terutama selepas waktu persekolahan atau ketika mereka bersendirian di bilik.

“Mungkin boleh dipertimbangkan juga supaya selepas jam 10 malam, gajet diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk memastikan remaja mendapat waktu rehat dan tidur mencukupi.

"Pada masa sama, sumber kandungan tidak terkawal yang mudah diakses perlu dicegah,” katanya.

Mohamad Ali menegaskan, pelaksanaan langkah ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar teknologi maklumat bagi memastikan keberkesanannya.

Artikel Lain