suria

Ramai kecewa Aerotrain rosak lagi, penumpang usung beg di landasan

Penumpang terpaksa berjalan di atas landasan susulan gangguan perkhidmatan Aerotrain.

PERKHIDMATAN Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi mengalami gangguan.

Menerusi foto tular di media sosial, penumpang dilihat terpaksa keluar dan berjalan di atas landasan selepas tren itu rosak pada awal pagi Selasa.

Dalam keadaan sekeliling yang masih gelap, penumpang terpaksa berjalan sambil membawa beg masing-masing.

Turut kelihatan adalah seorang kanak-kanak yang dipimpin oleh penumpang dewasa.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan kekecewaan atas gangguan berkenaan.

"Cukup-cukuplah. Baiki atau tutup saja (perkhidmatan). Ini memalukan negara.

"Ini sistem pengangkutan awam kelas dunia yang mereka canang?" tulis netizen.

Dalam pada itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan masalah pada sistem bekalan kuasa dikenal pasti sebagai punca gangguan perkhidmatan Aerotrain.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu berpunca daripada masalah pada sistem bekalan kuasa di bawah tanggungjawab kontraktor IJM-PESTEC Joint Venture (IPJM), yang turut menyebabkan gangguan sama pada 15 Oktober lepas.

Tambah MAHB, Alstom selaku peneraju projek Aerotrain bersama IPJV bakal mengemukakan laporan terperinci dan penjelasan berhubung dua insiden itu.

"Malaysia Airports terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan," ujar MAHB. lagi.

Artikel Lain