POLIS tidak menolak kemungkinan permainan kanak-kanak dalam talian, Roblox, mempengaruhi insiden seorang budak lelaki berusia enam tahun dicederakan di Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kejadian itu berlaku pada Isnin di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja.
Dia berkata mangsa ditemukan dengan kecederaan akibat kelar di leher dan tikaman di badan.
“Hasil siasatan awal mendapati abang mangsa yang berusia sembilan tahun banyak bermain Roblox dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta mata.
“Telefon bimbit kanak-kanak itu kemudian dirosakkan oleh mangsa, yang didakwa menyebabkan mata yang dikumpul hilang,” ujar Ab Rahaman pada sidang media di ibu pejabat polis negeri pada Rabu.
Tambahnya, abang mangsa mungkin mengalami halusinasi pada waktu malam berkaitan permainan itu, yang mana dia mendakwa diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya.
Dia berkata kanak-kanak itu kemudian mengambil sebilah pisau dan menyerang adiknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkejut, anak umur 6 tahun dikelar ketika tidur
“Mangsa ditemukan dengan kecederaan kelar dan tikaman. Dia sedang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat dan keadaannya stabil,” tambahnya.
Menurutnya lagi, ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu, masing-masing berusia 40-an, ditahan untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua ibu bapa ditahan kerana kami percaya mereka mempunyai pengetahuan tentang kejadian ini. Mereka direman sehingga Khamis,” tambahnya.
Polis juga menyoal siasat ahli keluarga lain, termasuk kakak kedua-dua beradik itu yang berusia 15 tahun.
“Siasatan masih di peringkat awal, dan kami belum merekodkan kenyataan mangsa kerana dia belum pulih sepenuhnya,” katanya lagi.
Mangsa dan abangnya kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mereka di bawah jagaan JKM dan tidak boleh ditahan seperti suspek jenayah,” katanya.
Menurutnya lagi, polis sudah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
“Pada ketika ini, siasatan kami menumpukan kepada keluarga dan menentukan punca sebenar kejadian,” katanya. - The Star.


