suria

Suami ceraikan isteri hamil melalui ‘voice note’ WhatsApp, berang diperiksa doktor lelaki hospital kerajaan

Wanita hamil perlu membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita yang sedang hamil anak kedua berdepan detik menyedihkan apabila dia diceraikan suami selepas diperiksa doktor lelaki ketika menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Menurut perkongsian seorang petugas kesihatan di media sosial, pesakit wanita itu dimasukkan ke wad akibat radang apendiks (appendicitis in pregnancy) ketika di awal usia kehamilan.

Seperti prosedur biasa di hospital kerajaan, pemeriksaan dilakukan oleh doktor yang bertugas dengan kehadiran jururawat wanita sebagai chaperone (pengiring).

"Hospital kerajaan bukan macam swasta boleh request nak doktor lelaki atau perempuan sebab negara kita pun kekurangan doktor.

"Lepas doktor lelaki check, si isteri buka mesej di WhatsApp yang ada voice note suami dia. Si suami beritahu yang dia haramkan doktor lelaki sentuh dan check isteri dia.

"Kalau check juga, jatuh talak. Apabila dah dengar macam tu, menangis la isteri ni. Saya ingat menangis sebab sakit, rupanya suami lafaz melalui voice note," jelas petugas kesihatan itu.

Pegawai perubatan yang bertugas hanya mampu menasihatkan agar wanita itu merujuk perkara tersebut kepada pihak pejabat agama selepas dibenarkan keluar hospital.

"Saya nak cakap lebih-lebih pun, kita tak tahu macam mana. Hanya dapat nasihatkan lepas keluar wad nanti pergi la pejabat agama.

"Tanya kepada mereka yang lebih tahu sebab dia buka mesej suami pun lepas doktor dah buat pemeriksaan ke atas dia.

"Kalau tak nak doktor lelaki sentuh isteri awak, simpan duit banyak-banyak bawa pergi hospital swasta. Boleh minta doktor perempuan yang periksa," jelasnya.

Sementara itu menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, majoriti ulama berpegang bahawa talak terhadap isteri ketika hamil adalah harus dan tersabit dalam satu hadis sahih.

Bagaimanapun pandangan itu dianggap kuat apabila pendapat majoriti ulama yang mengharuskan talak ke atas wanita sedang hamil dan edah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya.

Zulkifli turut mengingatkan seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan usaha sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.

Artikel Lain