SUSPEK kes bunuh warga Malaysia di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lalu dikatakan pernah dicederakan mangsa beberapa bulan lepas.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, suspek berusia 31 tahun yang juga bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan itu didakwa ditetak mangsa hingga dimasukkan ke hospital.
"Kes tembak mati di Sungai Golok rupanya mereka memang ada isu, penembak tu sebelum ni dah pernah kena tetak oleh si mati," dakwa seorang pengguna Threads.
Kesan kecederaan yang didakwa dilakukan mangsa.
Pengguna itu juga berkongsi rakaman suara dan video dalam dialek Kelantan serta gambar yang menunjukkan kesan kecederaan yang dialami suspek.
Antaranya kesan jahitan di bahagian kepala dan tangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ditembak di rumah, rakyat Malaysia di Golok maut
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tembak di Sungai Golok ditahan polis, bawa pistol ketika serah diri
Pengguna itu juga mendakwa empat bulan lalu mangsa dan isterinya bertindak mengambil jongkong emas dan memukul kepala suspek.
Selain itu, mangsa juga didakwa menikam suspek yang menuntut hutangya berjumlah RM2,000.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak dua individu di rumahnya dalam kejadian pada lewat petang Sabtu.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat 18 kesan tembakan pada tubuh mangsa, termasuk di bahagian badan dan leher.
Keesokannya pada Ahad, suspek yang merupakan bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 ditahan selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok.
Suspek turut menyerahkan pistol yang digunakannya kepada pihak berkuasa negara tersebut.


