SEORANG pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 2 di Kelantan dirai seperti raja sehari sempena majlis persaraannya pada Jumaat lalu.
Majlis yang diatur pihak sekolah itu dilihat cukup luar biasa apabila Wahab Deris, 64, yang berkhidmat selama 12 tahun, diraikan dengan penuh penghormatan seperti kebiasaan warga pendidik lain.
Menerusi perkongsian anaknya yang dikenali sebagai Hanis di TikTok [Tonton Video], bapanya menerima lebih 2,000 hadiah daripada pelajar dan guru sebagai tanda terima kasih atas jasa dan pengorbanannya menjaga keselamatan sekolah selama ini.
"Abah diraikan setelah 12 tahun berkhidmat, majlis yang penuh meriah disusun oleh SK Jeli 2 walaupun abah hanyalah seorang pengawal keselamatan.
"Hebat sekolah ini kerana meraikan pengawal keselamatan seperti abah, sama seperti guru-guru yang lain. Inilah abah saya, membesarkan dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sahaja," katanya.
Wahab dan isteri dirai bagai pengantin oleh guru dan murid SK Jeli 2 pada Jumaat lepas. -Foto media sosial
Berdasarkan video yang dikongsi, Wahab diarak menaiki kereta sebelum duduk di atas pelamin khas bersama isteri.
“Terima kasih kepada guru besar, semua guru dan pelajar yang sudi meraikan saya dengan begitu meriah. Saya dan isteri sangat terharu apabila diraikan seperti pengantin baru.
"Malu juga apabila kena duduk bersanding di depan semua,” katanya.
Sementara iti di ruangan komen, warga maya memuji tindakan pihak sekolah dalam meraikan Wahab, selain ada juga bekas murid sekolah itu mengakui kebaikan pengawal keselamatan tersebut.
"Bijak sekolah ni menghargai walaupun staf bawahan. Boleh dijadikan contoh kepada jabatan lain. Tahniah.
"Selamat bersara! Lama pakcik berkhidmat, daripada saya sekolah rendah… sekarang dah habis ijazah. Semoga pakcik sihat selalu di samping keluarga tercinta.
"Pakcik ni mesti pengawal sekolah yang baik. Tengok ank murid semua sayangkan dia," katanya.


