suria

Minah salih makan di meja sebelah... Lelaki ini melucah, berfantasi seks sambil buat ‘live’ TikTok

Tangkap layar video tular yang dikongsikan di Threads.

SEORANG lelaki mencetuskan kemarahan ramai selepas tular video rakaman semula (screen record) siaran langsung dibuatnya menerusi aplikasi TikTok menunjukkan dia bercakap lucah, di platform Threads sejak Rabu malam.

Difahamkan, individu yang melakukan  siaran langsung di sebuah restoran itu seorang yang dikenali terutamanya dalam kalangan komuniti Kelantan.

Menerusi rakaman berdurasi kurang satu minit itu, lelaki terbabit dilihat sedang makan bersama seorang wanita dipercayai isterinya.

Namun begitu, perbuatan tidak beradabnya dapat dilihat apabila dia menuturkan kata-kata kurang sopan dengan memberi komen lucah terhadap seorang perempuan warga asing yang sedang menikmati makanan berdekatan mejanya.

Mungkin tujuan pemuda itu hendak bergurau dengan melakukan 'content' sedemikian untuk pengikut media sosialnya namun merakam gambar individu tertentu tanpa kebenaran dengan tujuan tidak baik adalah satu perbuatan yang melanggar privasi seseorang dan boleh didakwa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Memberi komen lucah pula boleh ditafsirkan sebagai melakukan gangguan seksual kepada individu itu.

"Always the hauk (rupa tak elok) one. Apa yang lucah sangat ni bodoh. Buat live tunjuk warga asing sesuka hati," tulis seorang pengguna Threads yang memuat naik semula video tersebut.

Dalam video itu, kedengaran lelaki berkenaan bercakap dalam dialek Kelantan yang mana kata-katanya jelas lucah sambil berimaginasi seksual.

Dia berbicara mengenai payudara dan kemaluan individu itu sambil wanita berkenaan menikmati hidangan di atas meja tanpa menyedari aksinya dirakamkan.

Video tular itu mengundang kecaman ramai yang menyifatkan perbuatan lelaki berkenaan sebagai melampau dan menjijikkan.

Malah ada warga maya yang berpendapat tindakan itu boleh dianggap sebagai gangguan seksual walau tanpa pengetahuan mangsa.

"Perangai ni memang individu tapi selalunya daripada lelaki. Bukan baru sekali jumpa siaran langsung macam ni. Macam haram jadah.

"Cuba bayangkan kalau meja sebelah tu faham. Sumpah tak selesa nak makan. Kesian gila.

"Kepada perempuan (warga asing) yang makan dekat meja sebelah, saya harap awak nampak video ni melintas dan buat laporan polis. Perbuatan lelaki ini dianggap sebagai gangguan seksual," antara komen netizen.

Sehingga kini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh lelaki terbabit, manakala hasil carian mendapati akaun TikTok miliknya telah dinyahaktif selepas video tersebut tular.

Artikel Lain