suria

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan

Sebahagian daripada tertuduh memeluk keluarga dan rakan masing-masing selepas dibebaskan pada petang Jumaat.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 12 lagi tertuduh lelaki, dibebaskan pada petang Jumaat, selepas selesai menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari.

Kesemua mereka keluar dari Kompleks Penjara Kajang pukul 5.40 petang.

Terdahulu, Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan manakala sembilan tertuduh wanita masing-masing didenda RM4,500 atas pertuduhan menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang didakwa ke atas mereka dalam prosiding yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO GISBH, 21 individu tak mengaku jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Selain Nasiruddin, 66, tertuduh lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohammad Adib At-Tarmizi Asa'ari, 33; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Manakala sembilan lagi tertuduh wanita ialah CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33; Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73,.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kesemua tertuduh lelaki bermula dari tarikh tangkap pada 25 September tahun lalu.

Menurut peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh, meskipun dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan, namun pengiraan tempoh termasuk cuti umum dan hujung minggu membolehkan mereka dibebaskan serta-merta bermula Jumaat.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didapati menjadi anggota Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024 mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda yang tidak melebihi RM 5,000 atau kedua-duanya. 

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, mereka akan dipenjara selama tujuh bulan.

 

Artikel Lain