DEMI menampung kos rawatan ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang, seorang rider sebuah syarikat penghantaran makanan sanggup bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat.
Namun, pengorbanannya berakhir apabila dia rebah di tepi jalan ketika menghantar pesanan terakhir pelanggan.
Kisah tragis rider berkenaan yang dikongsikan oleh seorang individu di laman Threads mengundang sebak warga maya apabila mengetahui pengorbanan arwah mencari rezeki halal untuk ibunya.
"Kisah benar, Kuala Lumpur. Seorang abang Grab Food rebah tepi jalan masa hantar pesanan terakhir.
"Dalam beg dia masih ada makanan pelanggan. Orang awam cuba bantu, tapi Allah lebih sayangkan dia," tulisnya dalam perkongsian berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Patah balik ambil susu anak tertinggal di tempat kerja, bapa maut kemalangan tak sempat pulang ke rumah
Tambahnya, apa yang lebih menyayat hati, pihak polis menemui pesanan terakhir yang dihantar oleh arwah kepada ibunya menerusi WhatsApp.
"Bila polis periksa telefon dia, ada mesej terakhir kat WhatsApp (bertulis), 'mak, abang kerja sikit lagi. Malam ni abang balik, bawa lauk kegemaran mak'.
"Mak dia masa tu tengah tunggu di rumah sewa kecil di flat PPR.
"Rupa-rupanya, abang ni kerja siang malam nak bayar rawatan mak yang sakit buah pinggang. Setiap hari, dia tidur tiga jam je. Tapi orang luar cuma nampak dia 'penunggang motor yang bising atas jalan'," tulisnya lagi.

Sebahagian daripada komen netizen.
Menurut individu berkenaan, terlalu ramai rakan serta jiran tetangga hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah rider berkenaan.
"Ada yang baca doa sambil menangis. Dalam beg dia, ada slip derma tabung masjid RM10, sumbangan kecil yang dia buat setiap minggu tanpa gagal.
"Mak dia cakap, 'Anak mak tak sempat balik makan sama. Tapi mak bangga, sebab dia mati dalam usaha mencari rezeki yang halal'.
"Kawan, setiap orang yang kita lalu tepi jalan ada cerita. Jangan pandang rendah pada pekerjaan orang lain. Kadang yang nampak biasa, sebenarnya jauh lebih mulia di sisi Tuhan," tulisnya lagi.
Di laman komen, warga maya rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan menyifatkan arwah sebagai anak yang baik kerana berbakti tanpa mengenal Lelah demi ibu tercinta.
"Allahuakbar. Terlalu penat? Bukan sekali je terbaca kisah rider kecundang ketika mencari rezeki. Semoga Allah muliakan darjatnya di sana. Sebak.
"Salam takziah buat mak dan keluarga. Semoga mak dia kuat dan tabah dengan dugaan ini
"Sebaknya rasa... mudah-mudahan syurga firdaus buatmu," demikian antara komen netizen.


