SETIAP kali tetamu datang ke rumah, pasti persiapan harus dilakukan dengan rapi.
Bukan sahaja dari segi menyediakan hidangan dan memastikan kediaman dalam keadaan bersih, tuan rumah juga perlu bersedia dari segi minda untuk berdepan pelbagai kerenah tetamu.
Seorang wanita yang diuji tanpa zuriat selepas lama berkahwin berdepan situasi sukar yang tidak dijangkanya ketika tetamu berkunjung ke kediamannya.
Tetamu datang memenuhi jemputan tuan rumah. -Gambar hiasan
"Ada orang datang raya, lepas tu dia cakap pasal rumah aku. Dia kata, Tak ada anak okaylah dua bilik. Kalau tak, nak tidur mana.
"Aku sehabis baik jawab dengan ketawa, Itulah, tidurlah dia dalam bilik kecil tu," luahnya.
Menerusi hantaran di laman sosial itu, katanya, dia terfikir semula tentang perbualan tersebut selepas tetamu berkenaan pulang.
ARTIKEL BERKAITAN: Tebalnya muka! Tetamu dimalukan tuan rumah, dah ambil kek disuruh letak balik... Nak makan ‘dessert’ rupanya bersyarat
ARTIKEL BERKAITAN: Geram layan tetamu Gen Z, datang beraya ‘demand’ macam-macam... Tuan rumah terus tak jadi hidang pencuci mulut
Walaupun mengakui masih belum dikurniakan cahaya mata, dia tetap bersyukur dengan apa yang ada dalam kehidupannya sekarang.
"Aku terfikir, aku memang belum ada anak tapi aku dah ada semua. Cuba tengok famili kau, memang ada anak tapi yang lain? Tak ada.
"Itulah namanya rezeki. Lain orang, lain rezekinya," ujarnya.
Dalam hantaran sama, wanita itu berpandangan tetamu seharusnya mempunyai adab ketika berkunjung ke kediaman yang dikunjungi termasuk dari segi tutur kata dengan tuan rumah.
Boleh je kalau dia tak perlu cakap pasal anak sebab saya bukan saja-saja tak beranak.
TUAN RUMAH
Jelasnya lagi, bergurau dengan memperlekehkan atau bercakap sesuatu yang boleh menyinggung perasaan tuan rumah tidak seharusnya dinormalisasikan.
"Saya tak pergi rumah orang dan complaint rumah orang, kebesaran rumah, jumlah bilik keluasan serta tolong kirakan bilangan anak atau tentukan jumlah anak orang.
"Datanglah berbual hal-hal lain. Banyak lagi isu boleh cakap. Jangan jadikan kebiasaan, lagipun bukan dia tak tahu yang saya masih belum beranak," katanya.
Seorang wanita terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang tetamunya. -Gambar hiasan
Bagaimanapun menurutnya, dia tetap memberi respons yang baik meskipun berasa tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan tetamu berkenaan.
"Masa mereka tengah cerita pasal rumah, saya tengah buat air macam bermonolog dengan diri sendiri nak reaksi macam mana. Nak balas yang manis-manis supaya tak rasa macam sentap.
"Saya tak hina mereka, cuma saya terfikir kenapa dia tak percaya rezeki ini bukan pada anak je. Boleh je kalau dia tak perlu cakap pasal anak sebab saya bukan saja-saja tak beranak.
"Mungkin dia perlu fikir kewangan setiap orang juga tak sama. Saya beli yang saya mampu dan saya suka. Mungkin betul dia tak ada niat, tapi ayat 'tak ada anak okaylah dua bilik' tu agak tak sesuai. Tapi kita tak akan nak orang fikir macam kita fikir, jadi memang saya yang terlebih sensitif," luahnya lagi.