MENGADAKAN rumah terbuka sempena Aidilfitri sememangnya mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Namun dalam kemeriahan suasana itu, masih ada tetamu yang kurang peka dan tidak tahu adab bertandang ke rumah orang.
Seorang individu berkongsi pengalamannya ketika menghadiri sebuah majlis rumah terbuka yang bertukar menjadi situasi kurang menyenangkan.
"Hari ini saya datang open house rumah orang. Saya yang kena jaga anak orang lain. Saya kena kemas sepah anak orang lain buat," ujarnya dalam satu hantaran di media sosial.
Tetamu perlu menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang lain. -Gambar hiasan
Menurutnya, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut seronok berbual di luar tanpa menghiraukan kelakuan anak-anak mereka di dalam rumah.
Situasi menjadi semakin kecoh dan tidak terkawal apabila berlaku perebutan makanan dan mainan antara anak tuan rumah dan anak tetamu tersebut.
Apa yang mengecewakannya, ibu bapa kepada kanak-kanak itu terus leka berbual tanpa menjenguk anak-anak mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Makcik meja sebelah sedekah sepotong kek waktu berbuka! Penerima geli nak jamah, separuh dah dimakan orang lain
ARTIKEL BERKAITAN: Tebalnya muka! Tetamu dimalukan tuan rumah, dah ambil kek disuruh letak balik... Nak makan ‘dessert’ rupanya bersyarat
"Mak bapa budak tu seronok sembang dan bergosip dekat luar. Saya tengah sedap makan soto tiba-tiba ada budak menangis dalam rumah.
"Rupanya anak tetamu rampas keropok anak tuan rumah. Rebut mainan orang siap jerit-jerit dalam rumah orang.
"Mak bapa dia langsung tak jenguk anak dalam rumah tu buat apa. Tengah khusyuk bergosip dan bersembang," jelasnya lagi.
Dalam perkongsian tersebut, wanita ini turut memuat naik foto menunjukkan dirinya sedang menyapu makanan ringan yang bertaburan di atas lantai.
Jenguk la tengok anak kau buat apa dekat dalam rumah.
PENGADU
Menurutnya, dia kecewa dengan sikap ibu bapa yang lepas tangan selepas tuan rumah sudah menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan para tetamu.
"Saya sambung balik makan soto. Ada lagi budak jerit-jerit. Intai semula dalam rumah, rupanya anak tetamu tu taburkan keropok dalam rumah (atas karpet).
"Masih mak bapa buat tak endah. Tuan rumah dah bagi makan free, anak-anak main mainan, televisyen nak tengok cerita, jajan untuk anak duduk diam-diam.
"Dalam masa sama jangan ingat anak-anak anda tak buat 'kerja'. Jenguk la tengok anak kau buat apa dekat dalam rumah. Menyusahkan orang je!" ujarnya lagi.
Antara komen netizen pada hantaran asal.
Posting tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan individu berkenaan.
Malah, rata-ratanya berpendapat bahawa ibu bapa seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka ketika bertandang ke rumah orang.
"Buat-buat tak nampak la kak lain kali. Mudah macam ni pun kena 'ajar'.
"Saya... kalau anak orang, dia menangis ke bergaduh ke tumpahkan air ke lantak la situ. Tak kuasa nak melayan. Baik terus makan je nikmati makanan," ujar beberapa netizen.