SEJAK keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2024 diumumkan pada Khamis, pelbagai kisah suka dan duka dikongsikan di media sosial untuk dijadikan inspirasi dan pengajaran.
Namun perkongsian cikgu Muslim Ismail yang merupakan seorang pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan, Gemas, Negeri Sembilan cukup menyentuh hati.
Bukan gara-gara kecewa, tetapi cikgu Muslim Ismail berasa ralat apabila tidak dapat meraikan kejayaan kecil diperoleh seorang pelajarnya yang sebelum ini dianggap 'hilang arah'.
Dalam hantaran penuh menyentuh hati itu, Muslim menunjukkan keputusan pelajar tersebut yang memperoleh A- bagi subjek Landskap dan Nurseri.
Cikgu Muslim merupakan seorang pendidik di SMK Gemas.
"Hari ini dia dapat A-. Tapi saya tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah 'pergi' Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.
"Awak (arwah) tak banyak dosa... nanti tolong saya kalau saya di 'sebelah' satu lagi. Pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan," ujarnya sambil menitipkan 'pesanan' pada arwah.
Jika diteliti pada slip keputusan yang dilampirkan, pelajar tersebut turut mendapat gred 1E dan 5G (gagal) bagi enam lagi mata pelajaran.
Bercerita lanjut, Muslim memberitahu pelajarnya ini pernah 'menghiasi' senarai murid bermasalah kerana terlalu kerap ponteng dan hampir-hampir digugurkan daripada sistem persekolahan sewaktu di Tingkatan Empat.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Dibayar’ untuk setiap A, pelajar cemerlang SPM gembira terima ganjaran - “Ibu tunaikan janji on the spot”
ARTIKEL BERKAITAN: Berkat nenek baca Yasin di luar dewan peperiksaan, cucu raih keputusan SPM cemerlang - “Berjurai air mata sebab kau dik”
Malah, murid tersebut sering gagal dalam subjek-subjek akademik termasuklah Landskap dan Nurseri.
"Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat.
"Dalam subjek landskap yang saya ajar, dia tak pernah lulus pun peperiksaan tapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan. Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha.
"Saya tak marah pun sebab saya tahu kelemahannya dan kadang-kala apabila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang. Waktu saya hantar pulang, sempat juga saya titip kata-kata," ceritanya lagi.
Awak gagal beberapa subjek SPM saja tapi awak tak gagal di hati kami.
NETIZEN
Mengimbas kembali kenangan manis bersama pelajarnya ini, cikgu Muslim menyedari minatnya dalam bidang seni membuatkan dia berjaya menarik minat pelajar itu kembali ke sekolah.
"Dia suka menyanyi. Saya masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah.
"Mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan," ujarnya.
Komen netizen pada hantaran asal.
Perkongsian tersebut turut membuka mata ramai terhadap sistem pendidikan hari ini, terutama peranan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) seperti Landskap dan Nurseri yang sering dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak.
"Tahniah cikgu. Berkat usaha dan didikan cikgu... anak murid berjaya. Tahniah cikgu.
"Awak gagal beberapa subjek SPM saja tapi awak tak gagal di hati kami. Sedih la pula. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
"Allahuakbar, moga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Saya kagum dengan cara awak Muslim. Tarik pelajar ke arah yang dia minat. Apabila ada minat, baru dia akan suka ke sekolah," komen beberapa netizen.