SEORANG gadis dipercayai bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) mendakwa diganggu seorang lelaki dipercayai anggota penguat kuasa ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok, mereka berdua dilihat berbual biasa sebelum lelaki terbabit mula mengajak gadis itu untuk ‘lepak’, termasuklah 'check-in' hotel dan pergi ke rumahnya di kawasan Keramat.
Gadis berkenaan dilihat beberapa kali cuba menolak ajakan lelaki tersebut yang ketika itu lengkap berpakaian seragam.
"Lelaki beruniform ajak 'check-in'. Mana common sense awak?
"Desak-desak ajak lepak dekat tangga rumah kedai (berhampiran balai polis) tu 10 minit kejap je," tulisnya dalam video yang dikongsi.
Tangkap layar video dikongsikan di TikTok.
Berasa tidak selesa dan takut, gadis tersebut bersetuju dan berjanji akan bertemu pada keesokan harinya, tetapi mendakwa ia cuma 'lakonan' dan alasan untuk beredar segera dari situ.
"Saya kerja lima hari seminggu. Ahad kerja lima jam, Isnin cuti. Takut... saya kena balik juga ni.
"Saya kerja la... Apa dia? 10 minit? Nanti la, esok... esok. Esok la jumpa," balasnya kepada lelaki berkenaan.
Bagaimanapun lelaki berkenaan seperti tidak dapat menerima alasan gadis itu yang menolak ajakan lepak di tepi tangga.
"Orang nak sekarang..." kata lelaki itu dengan nada manja dan terus mendesak.
Video itu menarik perhatian ramai, namun gadis berkenaan turut menerima kecaman daripada segelintir netizen yang menuduhnya sengaja ingin mencari perhatian.
Menjawab kritikan tersebut, dia tampil menjelaskan mengapa masih melayan perbualan lelaki itu meskipun tidak selesa.
"Lepas keluar dengan kawan, saya ambil e-hailing untuk pergi ke motosikal saya parkir berhampiran balai polis. Dia nampak saya dan datang berbual.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Batu serah diri, polis siasat kes hantar mesej lucah kepada gadis umur 14 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh terhantar foto bogel kepada gadis bawah umur! Lupa ‘crop’, niat asal nak bagi dekat GF
"Mula berbual hal biasa. Lepas dia ajak borak fasal lepak dekat tangga saya rasa tak selesa. Dia cakap tak nak borak dekat sini (kawasan terbuka) nanti orang nampak.
"Jadi awak rasa dia nak buat apa dekat tangga... Tak kan la dia nak 'buat' dekat kawasan parkir sebab tempat terbuka. Dia pun tengah pakai beruniform. Berkali-kali dia desak," jelasnya.
Menurut gadis itu lagi, ketika kejadian dia bersendirian dan tidak membawa kad pengenalan.
Perkara itu menambahkan lagi rasa bimbang sekiranya dia perlu mempertahankan diri.
Rakaman yang dibuat secara diam-diam itu, katanya, bukan bertujuan untuk mengaibkan tetapi sebagai bukti sekiranya berlaku sesuatu.
"Tergerak hati nak rakam video dan tak mudah. Saya rakam senyap-senyap sambil gigit kuku. Saya mula rasa pelik dan rakam lepas lelaki ini ajak '10 minit' dekat tangga.
Masa rakam saya tak sangka dia cakap fasal check-in.
MANGSA
"Saya tak bawa kad pengenalan sebab tertinggal beg duit. Dia akan cari salah saya semula (jika melawan). Kalau lari, ada kereta peronda polis boleh kejar saya.
"Dekat parkir tu ada saya dan lelaki itu je. Sekiranya saya tumbuk dia (pertahankan diri)... dia pakai uniform. Dia akan putar belit cerita (tuduh) sebab saya tak bagi kerjasama.
"Saya yang ambil nombor telefon dia, bukan dia ambil nombor saya. Tu pun sebab saya nak elak bagi nombor saya. Kalau betul saya setuju nak check-in, tak kan saya rakam," katanya.
Tidak hanya itu, gadis ini turut menjawab tuduhan yang mengaitkan insiden tersebut dengan penampilan dirinya, termasuk warna rambut yang dikatakan terlalu menonjol.
"Saya tak tahu dia dah kahwin ke duda atau anak berapa ke. Masa rakam saya tak sangka dia cakap fasal check-in.
"Mujur saya rakam sebab kalau tak, mesti tak ada orang percayakan cerita saya. Susah sebab tak ada bukti. Ada yang salahkan pakaian saya.
Gadis ini tampil menjelaskan situasi berkaitan video tular.
"Saya naik motosikal. Tak seksi pun pakaian. Ada yang salahkan warna rambut merah saya. Mungkin juga sebab terlalu menyerlah," jelasnya lagi.
Tidak berpuas hati dengan gangguan yang dialaminya, dia akhirnya tampil membuat laporan polis.
Namun, dia kecewa dengan respons yang diterima di balai polis yang tidak didedahkan lokasinya itu.
"Polis dekat balai soal kenapa saya rakam, sebab katanya lelaki itu tengah bertugas. Ada juga cakap dua-dua salah, tapi saya lagi salah sebab viralkan.
"Saya tak niat nak malukan dia. Kalau betul nak malukan, saya tak tutup muka dia dalam video tu. Saya penat sunting video untuk jaga aib dia.
"Saya kongsi video bukan sebab nak aibkan sesiapa, tapi nak sebarkan kesedaran. Sebab kalau jadi dekat orang lain, mereka tahu macam mana nak hadapi," ujarnya kesal.
Jelasnya lagi, sifatnya yang peramah serta terbiasa berinteraksi dengan pelanggan mungkin disalah tafsir segelintir pihak termasuklah anggota berkenaan.
Namun dia sama sekali tidak menyangka perkara seperti gangguan seksual boleh berlaku kepada dirinya.