SEORANG pengusaha restoran nasi kandar di Semenyih, Selangor mengejutkan pelanggan setianya apabila dia secara tiba-tiba mengumumkan penutupan perniagaannya.
Malah, kisah penutupan restoran itu menjadi bualan ramai warga maya selepas pemiliknya berkongsi video gangguan mistik [Tonton Video] menerusi TikTok.
Menerusi video itu, kelihatan kuah kari ayam berkocak sendiri di dalam periuk walaupun ia tidak dihalakan kipas dan api dapur sudah dimatikan.
Antara menu nasi kandar di kedai tersebut.
Menurut pemiliknya, Shukril Amry, 28, kejadian misteri itu mula berlaku pada tahun 2023, menyebabkan Restoran Nasi Rozail miliknya semakin merosot.
"Itu video 2023 tapi saya baru upload. Kuah kari ayam dalam periuk berkocak sendiri. Apabila matikan rakaman, lagi kuat ia berkocak satu periuk.
"Sejak buka kedai tahun 2020, saya ada ramai pelanggan, meja pun penuh. Tapi bermula kejadian tahun 2023, bisnes mula perlahan.
- Restoran tutup 27 Julai 2025 selepas 5 tahun beroperasi.
- Dakwa berlaku gangguan mistik sejak 2023.
- Pekerja turut alami gangguan pelik.
- Video kuah kari berkocak tular di TikTok.
- Rancang berniaga semula dari rumah pada Ogos.
"Awalnya saya fikir orang tengah tak ada duit. Kemudian barulah saya ikhtiar dan pergi jumpa beberapa ustaz," ujarnya kepada mStar.
Selain itu dia yang senang disapa Amry mendakwa beberapa pekerjanya juga pernah berdepan gangguan mistik.
"Pekerja juga alami gangguan dan kena usik, antaranya mereka nampak kelibat dan benda hitam melintas. Apabila balik rumah, sakit badan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini tak tunduk pada sihir walau bisnes banyak kali hancur dan nyaris muflis! Dah lali ungkapan ‘kau bodoh tinggal kerja kerajaan’
ARTIKEL BERKAITAN: Sushi baru buat 3 jam dah berulat! Peniaga nekad bisnes macam biasa, enggan tahu siapa hantar sihir
"Saya pun pernah kena. Saya ingat ada pekerja di belakang. Saya minta hulurkan ayam, apabila pusing tiada siapa-siapa sebenarnya," ujarnya lagi.
Selain nasi kandar Kedah sebagai menu signatur, kedai itu turut menjual hidangan lain seperti nasi lemak dan nasi ayam.
Dalam pada itu, Amry berkata penutupan perniagaan tersebut juga dibuat dengan hati yang berat, namun dia terpaksa demi mengelakkan bebanan hutang berterusan.
"Saya tak marah sebab tak tahu siapa buat (gangguan). Tapi sedih dan kecewa sebab saya dah usahakan lama bisnes ini. Bermula 2014, buka gerai tepi jalan.
Amri rancang berniaga kecil-kecilan dari rumah bermula Ogos selepas menutup operasi kedainya pada 27 Julai.
"Tahun 2020 buka kedai, tapi hanya bertahan lima tahun saja. Pada 27 Julai ini kedai saya akan ditutup selamanya. Saya terpaksa berundur, takut lagi teruk.
"Sejak kejadian ini, bisnes on off, banyak benda tergendala. Saya tak nak hutang jadi bertimbun, jadi saya ambil jalan pintas untuk tutup," ujarnya.
Di sebalik keputusan berat itu, Amry berkata dia tidak berputus asa, sebaliknya merancang untuk membuat comeback dalam skala kecil pada Ogos nanti.
"Sekarang saya juga buat part time jadi pemandu Grab. Insya-Allah Ogos nanti saya akan kembali berniaga, tapi buat kecil-kecilan di rumah saja secara delivery.
"Nak berniaga sikit-sikit untuk survive je. Enam pekerja sekarang saya dah maklumkan awal untuk cari kerja lain," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.