SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 20 ketika cuba memanjat tebing sebelah kediaman teman wanitanya di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata polis menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada pukul 10.45 pagi berhubung kejadian itu.
"Lelaki itu cuba menghubungi teman wanitanya tetapi gagal dan kemudian cuba memanjat tebing sebelah rumah sebelum dipercayai tergelincir lalu terjatuh dari tingkat 20," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Aidil berkata, mangsa berusia 25 tahun yang parah di kepala dan anggota badan lain disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.
"Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.