suria

Budak 3 tahun maut jatuh tingkat 6 pangsapuri

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.42 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba masuk rumah kekasih, pemuda maut jatuh dari tingkat 20 kondominium

"Mangsa ditemui terbaring oleh orang awam di laluan pejalan kaki sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis. 

"Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Shahrulnizam, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ainaa Athira di talian 010-2762186.

 

Artikel Lain