POLIS diminta mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang didakwa melakukan gurauan keterlaluan terhadap salah seorang rakan mereka.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gurauan yang melampaui batas tetap dikategorikan sebagai perbuatan buli dan tidak wajar dibiarkan.
"Bergurau secara melampau juga satu bentuk buli. Perbuatan seperti ini tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan.
"Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?
ARTIKEL BERKAITAN: “You touch, you go!” - Asyraf Wajdi sahkan pelajar terlibat insiden buli digantung persekolahan
"Harap pihak polis dapat segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua," tulisnya di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, tular rakaman [Tonton Video] memaparkan lima pelajar memegang kaki dan tangan seorang rakan mereka sebelum menghayunkan tubuh mangsa sehingga bahagian kelangkangnya terhentak pada tiang besi papan tanda.
Dalam video sama, kelihatan beberapa lagi pelajar ketawa ketika menyaksikan kejadian itu.
Video kejadian itu turut dikongsi oleh penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan Caprice menerusi Instagram sehingga ia mencetuskan kemarahan ramai.
Ia dipercayai berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri, Sarawak.