DUNIA hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian legenda muzik rock, Ozzy Osbourne, yang meninggal dunia di rumahnya di Buckinghamshire, England pada malam Selasa.
Mendiang Osbourne menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun.
Berita duka itu disahkan oleh keluarganya menerusi satu kenyataan media yang turut memohon agar orang ramai menghormati privasi mereka ketika saat sukar ini.
Osbourne ketika persembahan terakhir dilakukannya pada Julai lalu.
"Dengan hati yang amat sedih, kami mengumumkan Ozzy Osbourne telah meninggal dunia secara aman pada pagi ini dikelilingi oleh ahli keluarga tercinta," katanya.
Osbourne, atau nama sebenarnya John Michael Osbourne, merupakan vokalis utama kumpulan heavy metal terkenal, Black Sabbath, yang ditubuhkan pada akhir 1960-an.
Mendiang digelar 'Prince of Darkness' dan merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah muzik rock.
Selepas meninggalkan Black Sabbath pada tahun 1979, Osbourne meneruskan kerjaya solo dan berjaya dengan lagu-lagu hits seperti Crazy Train, Mr. Crowley dan No More Tears.
ARTIKEL BERKAITAN: Badan semakin mengecut, Sharon Osbourne turun 20 kilogram selepas ambil ubat diabetes
ARTIKEL BERKAITAN: Jack Osbourne Selamatkan Wanita Lemas
Kerjaya Osbourne turut mencatat sejarah apabila dianugerahkan tempat dalam Rock and Roll Hall of Fame sebanyak dua kali bersama Black Sabbath dan juga sebagai artis solo.
Pada tahun 2020, Osbourne mengumumkan dia menghidap penyakit Parkinson, sekali gus mengejutkan ramai peminat.
Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu sehingga dia tidak lagi mampu berjalan sendiri.
Baigamanapun, Osbourne sempat membuat kemunculan terakhir di atas pentas dalam konsert kebajikan "Back to the Beginning" yang berlangsung di kampung halamannya, Birmingham, awal Julai lalu.
Dengan hati yang amat sedih, kami mengumumkan Ozzy Osbourne telah meninggal dunia secara aman pada pagi ini
KELUARGA OSBOURNE
Osbourne tampil dengan duduk di atas tempat khas sambil menyanyikan lagu-lagu kegemaran peminat bersama anggota asal Black Sabbath.
Konsert tersebut turut disertai oleh beberapa nama besar seperti Metallica dan Slayer serta berjaya mengumpul dana untuk pesakit Parkinson dan hospital kanak-kanak tempatan.
Mendiang juga dikenali ramai bukan sahaja kerana muziknya tetapi juga kehidupan peribadinya yang penuh variasi.
Osbourne dikenali sebagai Prince Of Darkness.
Hubungan dia bersama isterinya, Sharon Osbourne, sering menjadi perhatian media.
Pasangan ini berkahwin pada 1982 dan mempunyai tiga orang anak.
Mereka turut menjadi bintang dalam rancangan realiti popular The Osbournes, yang pernah ditayangkan di MTV dan melonjakkan lagi populariti keluarga ini di seluruh dunia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube