PELAKON veteran India, Mohini mengimbau kembali peristiwa hitam apabila dipaksa melakukan babak intim dalam filem arahan RK Selvamani berjudul Kanmani.
Bintang filem Tamil dan Malayalam itu dituntut menyarung baju renang bagi menjayakan satu babak sempena muzik video 'Udal Thazhuva'.
Katanya, ketika kejadian dia menangis dan cuba menolak permintaan tersebut, namun mengalah kerana bimbang pihak produksi berdepan kerugian.
Mohini antara barisan pelakon yang cukup popular pada masanya.
"Pengarah RK Selvamani merancang babak berbikini itu. Rasa sangat tak selesa, malah saya menangis dan menolak untuk melakukannya sehingga penggambaran tertangguh setengah hari.
"Saya cuba jelaskan yang saya tidak pandai berenang, apatah lagi mengenakan pakaian seksi ini di depan jurulatih lelaki. Ketika itu jurulatih wanita pun hampir tiada. Saya memang tak sanggup, tapi 'dipaksa' juga untuk lakukan," katanya.
Tambah Kanmani, selepas melakukan babak itu dia sekali lagi diminta untuk berbikini di lokasi lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Rajinikanth stabil selepas jalani pembedahan, penggambaran filem baharu terpaksa ditunda
ARTIKEL BERKAITAN: Aamir Khan sanggup tolak bayaran berlakon, ganjaran besar tampil bersama Rajinikanth
"Saya berkeras kali ini dan menolak permintaan itu. Walaupun mereka jawab penggambaran tak dapat diteruskan, saya terus balas 'itu masalah kamu, bukan saya'.
"Kadang-kadang perkara terjadi di luar kehendak kita dan inilah contohnya,"katanya.
Mohini sering membawakan watak heroin dalam sesebuah filem.
Dalam masa sama, Mohini turut menceritakan impak peristiwa tersebut terhadap perjalanan kariernya selama bertahun-tahun.
Menurutnya, dia kehilangan banyak tawaran lakonan, terutama sebagai pemain utama dalam sesebuah filem.
Pelakon veteran itu mengundurkan diri daripada industri perfileman setelah berkahwin.
Meskipun begitu, pelakon Chinna Marumagal itu yakin bahawa rezeki tidak akan pernah salah alamat.
"Andai sesuatu ditakdirkan untuk kita, ia tidak perlu dikejar. Sama ada cinta, kerja, atau pun perkahwinan. Ianya akan datang sendiri," ujarnya.
Penampilan terakhir Mohini di layar perak adalah menerusi filem thriller berjudul Collector pada 2011.
Setelah berkahwin dan dikurniakan dua anak, dia mengundurkan diri daripada industri seni bagi menumpukan perhatian kepada keluarga.