PELAKON India, Jisshu Sengupta pernah melalui fasa susah apabila tiada makanan dan bekalan elektrik di rumah.
Anak kepada pelakon pentas terkenal Ujjwal Sengupta itu mendedahkan, bil elektrik pernah tertunggak selama enam bulan sehingga mereka sekeluarga terpaksa makan malam berlampukan lilin.
“Ibu saya ajar erti ‘candlelight dinner’ waktu kami tak mampu bayar bil elektrik,” katanya.
Kini Jisshu sudah berjaya bergelar seorang pelakon dikenali ramai.
Ketika berusia 18 tahun, Jisshu bermain kriket dan menjadi pemain dram untuk mencari duit poket sebelum hidupnya berubah selepas ditawarkan berlakon drama Mahaprabhu pada 1998 dengan bayaran hanya 250 rupee India sehari (RM12).
Drama itu melonjakkan namanya sebagai 'superstar televisyen (TV) pertama di Bengal' dan berjaya mengubah nasib keluarganya.
Bagaimanapun, ayah Jisshu meninggal dunia pada 2001 diikuti ibunya pada 2008 sebelum sempat melihat kejayaan besar anak mereka.
Selepas meninggalkan TV, Jisshu beralih ke filem tetapi berdepan tempoh sukar apabila dilabel ‘pelakon malang’ dan menganggur selama enam bulan.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Akaun bank kosong, Luna Maya pernah menangis tak ada duit
ARTIKEL BERKAITAN: Kesal tiada rakan membantu, Shahriza Mahmud hidup susah selepas sakit... “Mesej atau tanya khabar pun tidak ada”
Segalanya berubah selepas bertemu pengarah Rituporno Ghosh pada 2008 yang mengangkat namanya dalam industri filem Bengali.
Kini, Jisshu, 48, bukan sahaja popular di India Timur malah berjaya menembusi Bollywood menerusi filem seperti Barfi, Piku, Shakuntala Devi serta web drama bersama Kajol dalam Trial musim kedua.
“Saya sudah rasa semua kehidupan susah, senang, miskin, kaya… dan kerana itu, kalau saya mati esok, saya reda.
"Hanya ibu dan ayah tidak sempat lihat kejayaan ini,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube