CABARAN terbesar bergelar pelakon bagi Triptii Dimri adalah perlu melalui sesi uji bakat yang memenatkan sebelum mendapat peluang berlakon di layar perak.
Pelakon Bollywood itu berkata, dia mengaku sesi uji bakat lebih menyeramkan berbanding bekerja di depan kamera.
Aktres jelita ini bersyukur diberi rezeki untuk bergelar seorang pelakon.
"Bagi saya cabaran itu sama sahaja untuk pelakon pelakon. Apabila datang ke Mumbai, India ada hari saya perlu melalui tiga hingga empat sesi uji bakat sehari selama hampir setahun setengah.
"Sebenarnya sesi uji bakat lebih menakutkan berbanding berlakon di depan kamera kerana hanya diberi satu atau dua peluang.
"Kita perlu terus menjiwai watak walaupun hanya menerima penerangan ringkas dan ketika itu ramai yang sedang memerhati,"katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon wanita dipaksa lakon babak intim tanpa kerelaan
ARTIKEL BERKAITAN: Salman Khan akui silap sendiri punca gagal dalam percintaan, impi timang anak
Tambah Triptii, selepas berjaya mendapat tawaran berlakon dia tidak terlepas berdepan cabaran baharu bagi memastikan setiap persembahan tidak membosankan penonton.
"Apabila sudah bekerja, anda perlu sentiasa membawa kesegaran supaya penonton tidak bosan dengan lakonan anda.
"Bagaimanapun saya bersyukur dengan setiap peluang diberikan kerana saya percaya ramai lagi individu lebih hebat di luar sana, tapi belum diberikan peluang,"katanya.
Triptii menganggap sesi uji bakat antara perkara yang mencabar dalam hidupnya.
Untuk rekod, Triptii mula mencipta nama menerusi filem berjudul Poster Boys pada tahun 2017 sebelum membintangi Laila Majnu, Bulbbul dan Qala.
Malah namanya mula mencuri perhatian menerusi aksinya sebagai pelakon sampingan dalam filem Animal arahan Sandeep Reddy Vanga yang ditayangkan pada 1 Disember 2023.