suria

Bintang legenda, Diane Keaton meninggal dunia

Diane meninggal dunia pada usia 79 tahun.

PELAKON Hollywood, Diane Keaton yang terkenal menerusi filem ikonik Annie Hall dan The Godfather dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu. 

Berita duka itu disahkan oleh jurucakap keluarga kepada majalah People, yang memaklumkan Keaton menghembuskan nafas terakhir di California pada usia 79 tahun. 

Punca kematian tidak didedahkan dan pihak keluarga meminta agar diberikan ruang privasi buat masa ini.

Punca kematian Diane tidak didedahkan.

Keaton mula mencipta nama apabila membintangi Annie Hall (1977) arahan Woody Allen, yang melayakkannya memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik. 

Filem tersebut turut memenangi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik, sekali gus meletakkan Keaton sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh dalam sejarah perfileman.

Selain itu, Keaton turut membintangi lapan filem bersama Allen termasuk Play It Again, Sam (1972), Manhattan (1979) dan Manhattan Murder Mystery (1993).

Dalam siri filem The Godfather, Keaton memegang watak Kay Adams, kekasih dan kemudian isteri kepada watak Michael Corleone lakonan Al Pacino, yang turut melonjakkan lagi reputasinya di layar perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon lelaki meninggal dunia dalam tidur

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi burung gergasi Big Bird dan Oscar, Caroll Spinney meninggal dunia kerana gangguan saraf

Sepanjang kerjaya lebih lima dekad, Keaton pernah menerima empat pencalonan Oscar termasuk untuk filem Reds, Marvin’s Room dan Something’s Gotta Give. 

Mendiang juga pernah memenangi BAFTA dan Golden Globe.

Pada tahun 2017, Keaton menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada American Film Institute (AFI) yang memuji dia sebagai ‘ikon yang luar biasa, berani dan di luar kebiasaan’.

Diane pernah memenangi anugerah Oscar dalam kariernya sebagai pelakon.

Tidak hanya itu, Keaton juga dikenali sebagai ikon fesyen dengan gaya tersendiri seperti topi besar, sut lelaki dan aksesori unik yang diperkenalkan menerusi Annie Hall menjadi identiti yang kekal hingga ke akhir hayatnya.

Untuk rekod, Keaton pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa bintang ternama termasuk Woody Allen, Al Pacino dan Warren Beatty, namun tidak pernah berkahwin.

Keaton meninggalkan dua orang anak iaitu Dexter dan Duke.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain