SUAMI pelakon Nikita Willy iaitu usahawan Indra Priawan sekali lagi menjadi tumpuan apabila muncul dakwaan baharu melibatkan kes penyelewengan dana syarikat yang dikatakan mencecah nilai sehingga Rp1 trilion (anggaran RM250 juta).
Menurut laporan Terkenal.co, isu ini kembali hangat diperkatakan susulan gaya hidup mewah pasangan selebriti itu yang sering dipaparkan di media sosial.
Perkongsian mengenai aset mewah, percutian eksklusif dan gaya hidup mewah yang dikongsi secara terbuka mengundang reaksi pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan warganet apabila sumber kekayaan mereka mula dipersoalkan.

Nikita (kiri) dan suami sering memaparkan gaya hidup mewah di media sosial.
Meskipun jumlah tersebut belum disahkan oleh pihak berkuasa, laporan tersebut cukup untuk mencetuskan kebimbangan dan spekulasi meluas.
Sehingga kini, pihak Indra Priawan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan tuduhan terbaharu ini.
Sebelum ini, Indra turut dikaitkan dengan kes tuntutan oleh ibu saudaranya, Mintarsih, yang mendakwa dia telah menyeleweng saham dan dana milik keluarga daripada syarikat pengangkutan terkenal Indonesia, Blue Bird Group.
ARTIKEL BERKAITAN: Nikita Willy tak pernah kentut depan suami, sanggup lari ke bilik air
ARTIKEL BERKAITAN: Nikita Willy mengaku tak pandai masak, sanggup upah chef peribadi sediakan makanan
Menurut Mintarsih, saham yang sepatutnya menjadi haknya didakwa telah dinikmati oleh Indra sejak tahun 2001.
Malah, Mintarsih turut membangkitkan isu gaya hidup mewah pasangan itu kerana dianggap tidak mencerminkan keadaan syarikat yang sedang berdepan isu dalaman.
Dalam masa yang sama, kes lama berhubung tuntutan saham oleh Mintarsih masih belum selesai dan difahamkan telah dibawa ke peringkat peninjauan kembali (PK) di Mahkamah Agung Indonesia.
Setakat ini, siasatan rasmi oleh pihak berkuasa masih belum diumumkan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


