PENYANYI Indonesia, Virgoun Tambunan kini sedang berdepan masalah kesihatan melibatkan pita suara apabila disahkan mengalami benjolan kecil akibat penggunaan vokal secara berlebihan.
Ketika sibuk membuat persiapan untuk kemunculan semula bersama kumpulan Last Child, Virgoun, 39, menjelaskan masalah itu berpunca daripada jadual persembahan yang sangat padat sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Tambah Virgoun, tekanan menyanyi lagu-lagu bernada tinggi secara berterusan memberi cabaran, apatah lagi dengan faktor usia yang semakin meningkat menjejaskan kekuatan suaranya.

Virgoun akan turun ke Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Akhirnya saya jalani pemeriksaan dengan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) dan disahkan ada benjolan kecil pada pita suara.
“Saya kerap buat persembahan dengan Last Child. Tekanan untuk menyanyi lagu-lagu bernada tinggi memang sangat mencabar. Umur pun dah meningkat, jadi suara mula ada masalah,” katanya.
Masalah pada suaranya semakin jelas ketika sesi rakaman single terbaru Last Child dijalankan.
Penerbit mereka mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan vokal Virgoun, terutamanya ketika dia menggunakan teknik falsetto.
ARTIKEL BERKAITAN: Virgoun ambil dadah sebab nak kuruskan badan, berdepan hukuman penjara 4 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Janda Virgoun sudah temui pengganti, beri bayangan bakal nikah dalam masa terdekat
“Produser saya yang mula perasan. Setiap kali saya buat falsetto, suara saya macam ada dua atau tiga lapisan keluar sekali gus. Suara jadi tak bersih,” jelasnya.
Disebabkan masalah ini, rakaman single 'comeback' yang sangat dinanti-nantikan peminat selepas kumpulan itu menyepi selama dua tahun terpaksa ditangguhkan.
Bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar, Virgoun turut merancang mendapatkan rawatan lanjut di Pulau Pinang dalam masa terdekat.
“Bulan ini juga mungkin saya akan ke Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut. Harapnya suara saya boleh pulih sepenuhnya sebelum kembali ke studio,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        

