HIKMAH melakonkan watak pendakwah dalam filem Qodrat 2, pelakon Indonesia Vino G Bastian menerima banyak pengajaran termasuklah menjaga tingkah laku dan muhasabah diri.
Menurut Vino, 43, dia juga sama seperti manusia lain yang banyak melakukan kesilapan dalam hidup, namun tidak berhenti berusaha untuk menjadi seorang Muslim lebih baik.
“Saya sama seperti anda (netizen) semua, bacaan al-Quran mungkin belum cukup lancar, ibadah yang dilakukan juga belum 100 peratus benar tetapi dengan berlakon filem ini, saya belajar dari watak Qodrat.
“Ini sekali gus menjadi benteng untuk mengelakkan saya berbuat perkara tidak baik di dunia realiti.
Vino mampu membawakan watak Qodrat dengan baik.
“Saya harus menjaga kelakuan sebagai refleksi diri kerana sebelum ini memegang watak sebagai ustaz,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Vino memberitahu dia berasa senang apabila ada yang memanggilnya dengan panggilan ‘Ustaz Qodrat’ berbanding nama sebenar.
Kata Vino, ini bermaksud karakter yang dibawa menerusi filem tersebut berjaya meninggalkan kesan di hati penonton.
“Saya senang ketika orang lain memanggil saya ‘Ustaz Qodrat’. Itu satu pencapaian buat seorang pelakon.
ARTIKEL BERKAITAN: Hajat Acha Septriasa berlakon filem keagamaan termakbul, pengarah ‘Qodrat 2’ telefon selepas selesai berdoa
ARTIKEL BERKAITAN: Osman Ali kembali dengan filem misteri, ‘Telaga Suriram’ bakal buat penonton tak senang duduk
“Ramai yang memanggil saya ‘Ustaz Qodrat’ dan lupa dengan nama sebenar saya. Itu bermakna karakter yang saya bawa itu berjaya,” ujarnya.
Tambah Vino lagi, dia melihat pembabitannya dalam filem Qodrat ini sebagai satu hikmah kerana dapat memantapkan lagi ibadah dan mempelajari ilmu agama.
Malah, kelebihan yang diperoleh dengan menghafal ayat-ayat ringkas al-Quran dapat dimanfaatkan dengan mengajarnya kepada anak-anak.
“Bagi saya menghafal ayat-ayat al-Quran sambil berlakon sebenarnya ada kelebihan tersendiri. Saya boleh menghafal ayat-ayat yang mungkin sebelum ini saya tidak tahu ajarkan kepada anak-anak saya.
Vino (kiri) dan Acha sebagai watak utama dalam Qodrat 2.
“Berlakon dalam filem Qodrat 1 dan Qodrat 2 adalah satu keberkatan apabila saya sendiri berpeluang mempelajari agama. Mudah-mudahan boleh memantapkan lagi amal ibadah,” katanya.
Filem Qodrat 2 muncul sebagai filem seram paling besar di Indonesia ketika ini apabila ia melibatkan beberapa produksi berpengaruh termasuk Magma Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio dan Beacon Films.
Selain Vino, Qodrat 2 turut dibintangi barisan pelakon termasuk Acha Septriasa, Della Dartyan dan Dony Alamsyah.
Qodrat 2 sudah mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 17 April lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!