suria

‘Blood Brothers: Bara Naga’ cecah kutipan RM50 juta selepas 14 hari tayangan

Kutipan filem Blood Brothers sudah mencapai RM50 juta.

FILEM Blood Brothers: Bara Naga mencipta satu lagi sejarah apabila meraih kutipan sebanyak RM50 juta hanya selepas 14 hari ia ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia.

Pengarah filem ini iaitu Syafiq yusof dan Abhilash Chandra meluahkan rasa syukur dengan kejayaan diraih dan menyifatkan ia sebagai pencapaian luar biasa. 

Malah kedua-dua pengarah itu mengucapkan ucapan terima kasih kepada kesemua penonton yang masih percaya pada kehebatan filem tempatan.

Blood Brothers menjadi filem dengan kutipan paling tinggi bagi tahun 2025.

"Kami amat bersyukur melihat kutipan yang terus meningkat dan kini mencapai tahap yang begitu luar biasa. 

"Ini semua tidak akan berlaku tanpa sokongan padu daripada penonton Malaysia.

"Terima kasih kerana terus mempercayai dan menyokong filem ini dari awal hingga sekarang," katanya.

Susulan kejayaan tersebut, Blood Brothers: Bara Naga yang sedang ditayangkan di 170 pawagam itu menjadi antara karya tempatan dengan kutipan paling tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Blood Brothers: Bara Naga’ cetus fenomena, kutip RM9.2 juta selepas 2 hari tayangan

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tahu tunggu sana”- Peminat Sabah teruja, pelakon ‘Blood Brothers’ bergambar depan Maybank Gaya Street

Sejak mula ditayangkan, pelbagai reaksi dan maklum balas positif membanjiri media sosial. 

Tidak hanya itu, ada juga penonton yang sanggup kembali ke pawagam semata-mata untuk menyaksikan semula babak pembukaan 10 minit pertama yang sememangnya tidak boleh dilepaskan.

Blood Brothers: Bara Naga mengisahkan tentang pemuda Bernama Ariff lakonan Syafiq Kyle, yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk menyertai syarikat kawalan keselamatan elit, Silent Guard, di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su) iaitu seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merupakan ketua sindiket mafia digeruni dikenali sebagai Naga.

Kami amat bersyukur melihat kutipan yang terus meningkat dan kini mencapai tahap yang begitu luar biasa. 

SYAFIQ YUSOF DAN ABHILASH CHANDRA

PENGARAH

Sejak itu, Ariff mengangkat sumpah setia dan menjadi Blood Brother kepada Ghaz dan kemudian satu ikatan persaudaraan yang tidak boleh dikhianati.

Namun, apabila berlakunya pengkhianatan besar yang menggoncang empayar Naga, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai dalang di sebalik musibah tersebut. 

Dia kini menjadi buruan dan suspek utama dalam konspirasi gelap yang mengancam nyawanya.

Gandingan Sharnaaz dan Syafiq dipuji penonton.

Dalam usaha untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, Ariff melarikan diri dan terpaksa mencari perlindungan daripada abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly). 

Namun, di sebalik pelariannya, Ghaz pula diberi mandat untuk menjejaki dan menangkap Ariff  demi menegakkan keadilan keluarga Naga yang menuntut balas dendam.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Amelia Henderson serta Zamarul Hisham.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain