TERSINGKIR di minggu pertama program Big Stage Alpha, penyanyi Syafeek Ikhwan merasakan dirinya mungkin tidak ditakdirkan meraih populariti dalam bidang hiburan.
Kata Syafeek atau Muhammad Syafeek Ikhwan Ghazali, 37, selama 10 tahun berusaha mencari nama dalam industri seni, dia reda apabila diumumkan menjadi antara peserta terawal yang tersingkir dalam program realiti hiburan berkenaan.
"Saya mulakan karier dalam pertandingan besar pada 2015. Lebih kurang 10 tahun tetapi masih tak naik-naik nama Syafeek Ikhwan ini.
Syafeek kecewa kerana menghampakan sokongan peminat.
"Kadang-kadang saya terfikir juga mungkin saya memang ditakdirkan untuk tidak terkenal ke?
"Tapi saya sejenis orang yang tidak mahu mengalah. Perasaan sedih itu ada tetapi bila difikirkan semula apa yang saya dapat kalau saya berhenti menyanyi?” katanya kepada mStar.
Syafeek berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Big Stage Alpha yang diadakan di Royal Theatre Shah Alam, Selangor pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Syafeek memberitahu dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka, namun lebih berasa kecewa kerana sudah menghampakan peminat.
ARTIKEL BERKAITAN: 6 peserta ‘Big Stage Alpha’ balik awal, gagal mara pusingan ‘The Big 12’
ARTIKEL BERKAITAN: Syafeek Ikhwan tak segan jadi peserta ‘Big Stage Alpha’ paling tua, bersaing dengan Gen Z
Ujar Syafeek, dia terharu melihat usaha peminat yang sanggup berhabis semata-mata mahu menunjukkan tanda sokongan terhadapnya.
"Adat pertandingan memang akan ada yang menang dan kalah, cuma tak sangka perjalanan saya akan terhenti (penyingkiran) seawal ini.
"Apa lebih mengecewakan bila saya tengok peminat yang bersusah payah datang, siap tempah baju dan bawa sepanduk. Saya rasa kenapa saya perlu susahkan mereka sedangkan tak ada apa-apa hasil untuk saya berikan kepada peminat.
"Saya kecewa bukan kerana tersingkir tetapi lebih kepada sudah menghampakan sokongan diberikan peminat," ujarnya.
Saya lahir dalam keluarga susah.
SYAFEEK IKHWAN
PENYANYI
Penyanyi lagu Penunggu ini bagaimanapun memberitahu dia tidak akan berputus asa untuk terus berkarya dalam bidang muzik.
Ini kerana sejak kecil lagi dia sudah terbiasa hidup susah membuatkan dirinya tidak pernah mengalah untuk menggapai impian.
"Semangat ini mungkin datang kerana saya lahir dalam keluarga susah. Saya dah biasa hidup susah dari kecil, pernah disisihkan kawan-kawan kerana saya bukan anak orang kaya.
"Kesusahan itu membuatkan saya belajar untuk menjadi kuat dalam apa jua keadaan.
Syafeek masih belum berputus asa untuk mengejar impian dalam industri hiburan.
"Ibu saya pun selalu pesan kalau jatuh sekali, kita jangan bangun sekali sebaliknya kita bangun 10 kali. Itu yang saya pegang sampai hari ini," katanya.
Selain Syafeek, lima lagi peserta tidak berjaya ke pusingan 'The Big 12' iaitu Suff Ahmed, Apich Lo, Alif Azri, Shaqeen dan Ridhwan Azman.
Minggu pertama Big Stage Alpha menyaksikan 18 peserta membuat persembahan secara berkumpulan namun hanya 12 penyanyi dipilih untuk mara ke peringkat 'The Big 12'.
12 peserta lain yang berjaya meneruskan saingan di peringkat seterusnya ialah Ray D, Awienit, Aeril Fesol, Que, Araff dan Qarl G.
Selain itu, Afiq Sky, Ashmirul, Daniel Sher, Rizal Rasid, Izat Ibrahim dan Allan Andersn.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!