MINGGU suku akhir Big Stage Alpha menyaksikan Awienit dan Afiq Sky diumumkan sebagai dua peserta tersingkir pada pertandingan yang berlangsung pada malam Ahad.
Bagaimanapun, juri tetap Datuk Syafinaz Selamat menggunakan imuniti X untuk menyelamatkan Afiq daripada tersingkir.
Selain Awienit dan Afiq, Allan Anderson turut berada di kedudukan tiga terbawah sekali gus menjadikan dia peserta tersingkir pada peringkat suku akhir ini.
Kata Syafinaz, pihak juri terpaksa membuat keputusan berdasarkan persembahan keseluruhan secara berkumpulan.
Afiq diselamatkan menerusi imuniti X.
"Untuk Allan, kekurangan awak bukan pada suara, awak ada vokal unik tetapi apa yang kurang adalah kerjasama dalam kumpulan.
"Sekiranya ini adalah pertandingan solo, saya akan pilih awak," katanya.
Pada peringkat suku akhir ini, Allan menyampaikan lagu Sumpah dan Cinta Matiku nyanyian Nidji, manakala Awienit dengan lagu Rumah Singgah.
Syafinaz menyifatkan nyanyian Awienit pada malam ini terlalu mengikut idea penyanyi Hael Husaini yang memberikan nafas baharu menerusi lagu asal nyanyian Fabio Asher itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Juri enggan guna imuniti, Que tersingkir minggu ke-4 Big Stage Alpha
ARTIKEL BERKAITAN: Syafinaz minta tiada penyingkiran, Ariel Fesol mara ke minggu ke-4 Big Stage Alpha
"Saya rasa awak seperti mengikut kata seseorang (komposer) dan awak tidak mendalami apa yang diberi.
"Awak kena dalami dan luahkan rasa lagu ini mengikut kreativiti sendiri kerana saya mendengar awak menyanyi seperti Hael.
"Suara awak tetapi gaya nyanyian adalah idea Hael. Saya perlukan input daripada awak," ujarnya.
Dalam pada itu, enam peserta lain termasuk Daniel Sher, Ray D, Rizal Rasid, Izzat Ibrahim, Ariel Fesol dan Araff berjaya meneruskan perjuangan di peringkat separuh akhir minggu depan.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Alpha Ultra dan Alpha Prime.
Bagaimanapun, pada minggu suku akhir ini peserta ditukarkan daripada kumpulan asal bagi memberi cabaran baharu buat mereka.
Alpha Ultra dianggotai oleh Daniel, Rizal, Ariel Fesol dan Araff.
Manakala Ray D, Izzat, Ray D, Allan dan Afiq menganggotai kumpulan Aplha Prime.
Persembahan Awienit gagal menambat hati juri.
Menerusi persembahan berkumpulan, Alpha Ultra menyampaikan lagu Crooked nyanyian G-Dragon manakala Alpha Prime dengan lagu Fantastic Baby (Big Bang).
Selain Syafinaz, Big Stage Alpha turut menampilkan penyanyi Edry Abdul Halim dan Hael Husaini sebagai juri tetap.
Manakala penyanyi Mimi Fly menjadi juri jemputan untuk minggu suku akhir.
Dihoskan oleh pengacara Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage Alpha boleh ditonton secara langsung di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Ahad, pukul 9 malam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube