suria

Baru pulih sakit gastrik, Wawa Zainal diduga anak sesak nafas... Bimbang terkena penyakit Ain

Wawa (kanan) bimbang Hayla terkena penyakit ain.

SELEPAS ditahan di wad akibat masalah gastrik, pelakon dan usahawan Wawa Zainal diduga lagi apabila anak perempuannya iaitu Hayla Maghfiratul Adzkiyaa dikejarkan ke sebuah hospital selepas mengalami sesak nafas.

Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 34, bagaimanapun pelik dengan keadaan Hayla, 9, kerana kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang simptom seperti tekak berkahak.

Disebabkan itu, Wawa meluahkan rasa bimbang jika Hayla adalah disebabkan penyakit 'Ain' sehingga kesihatannya terjejas.

“Kasihan anak mama, tak ada kahak pun tapi sesak nafas. Dia mengadu susah nak bernafas, Wawa pun tak pasti adakah ini dinamakan 'Ain'?

Perniagaan kek batik yang diusahakan Hayla semakin laris.

Perniagaan kek batik yang diusahakan Hayla semakin laris.

“Alhamdulillah, Wawa sudah pulih selepas kena gastrik teruk kelmarin tapi Hayla pula ganti sesak nafas. Korang ada tak amalan untuk menghindarkan penyakit ain?" katanya.

Wawa berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa. 

Menerusi hantaran serupa, Wawa berkongsi foto Hayla sedang menggunakan alat nebulizer bagi menstabilkan keadaannya yang sukar bernafas.

Dalam pada itu, Wawa memohon maaf sekiranya perniagaan kek batik diusahakan anak perempuannya mengundang rasa kurang senang segelintir pihak sehingga menyebabkan penyakit Ain.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes kek batik anak semakin laris, Wawa Zainal pula dalam dilema

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Aeril Zafrel tiada duit nak upah pekerja, satu keluarga bantu Hayla siapkan tempahan kek batik

Wawa turut meminta tip daripada pengguna media sosial bagi mengelakkan berlakunya penyakit Ain.

Bagaimanapun kata Wawa, dia terpaksa menolak cadangan agar tidak berkongsi sebarang foto di media sosial bagi mengelak masalah Ain kerana medium itu adlaah cara mereka mempromosikan perniagaan.

“Wawa minta maaf dan ampun sangat kalau kehadiran kek batik Hayla membuat sesetengah pihak kurang senang.

“Jangan cakap jangan muat naik apa-apa sebagai usahawan kami la muka hadapan yang kena promosikan bisnes ini. 

“Kalau diberi pilihan tak posting apa-apa, Wawa nak! Tak perlu media sosial pun tak mengapa tapi apakan daya, siapa lagi nak promosi jualan kita kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Wawa dan suaminya yang juga pelakon Aeril Zafrel berkongsi bisnes kek batik anak perempuan mereka mendapat permintaan mengalakkan daripada pelanggan.

Wawa mohon maaf sekiranya perniagaan anak perempuannya mengundang rasa kurang senang.

Wawa mohon maaf sekiranya perniagaan kek batik Hayla mengundang rasa kurang senang.

Sebagai tanda sokongan, Aeril turut membelikan sebuah peti sejuk pembeku atau chiller bagi memudahkan Hayla menyimpan stok kek batik.

Untuk info, penyakit Ain merupakan penyakit disebabkan oleh pandangan mata disertai dengan sifat iri hati atau rasa takjub terhadap apa dipandang. 

Untuk rekod, Wawa mendirikan rumah tangga dengan Aeril pada 2013.

Selain Hayla, pasangan ini dikurniakan tiga orang lagi cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Ayya Sofia, 5, dan Muhammad Fahri, 4 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain