suria

Jadual padat punca Randy Pangalila tiada dalam ‘Gantung: Musketeer Code’, Ben Amir galas watak Gibran

Ben (kiri) bimbang sekiranya watak Gibbs lakonannya dibandingkan dengan Randy.

WUJUD perasaan bimbang dalam diri Ben Amir terhadap penerimaan penonton apabila dia diberi kepercayaan membawa watak Gibran atau Gibbs menerusi filem Gantung: Musketeer Code.

Ini kerana kata Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 35, penonton akan membuat perbandingan dengan pelakon asal watak tersebut iaitu Randy Pangalila menerusi versi drama bersirinya.

“Sudah tentu dalam mana-mana drama bersiri atau filem yang ditukar pelakonnya mesti ada perbandingan dibuat penonton.

“Takut itu ada kerana penonton akan bandingkan kami. Tapi tak mengapa, saya anggap sebagai cabaran membawa watak Gibbs dengan cara sendiri,” katanya kepada mStar.

Ben menyahut cabaran dalam membawakan watak Gibbs.

Ben menyahut cabaran dalam membawakan watak Gibbs.

Dalam pada itu, Ben memberitahu dia pada awalnya kurang yakin dapat menzahirkan watak Gibbs dengan baik namun bersetuju selepas diyakinkan oleh pengarahnya iaitu Nadia Khan.

Dedah Ben lagi, Nadia membuat tawaran itu sekitar dua tahun lalu dan pada awalnya menyangka hanya terlibat sebagai pelakon sampingan.

“Saya masih ingat pertemuan pertama kami, Nadia tanya sama ada saya tahu fasal Gantung dan tawarkan saya berlakon. 

“Saya tanya watak apa? Ingatkan hanya sebagai pelakon undangan rupanya watak utama menggantikan Randy. 

ARTIKEL BERKAITAN: Novel fixi ‘Gantung’ ke layar perak, hasil dana sumbangan awam RM200,000

ARTIKEL BERKAITAN: Individu janji ‘fund’ setengah juta lesap, pengarah cerita kepayahan terbitkan filem ‘Gantung: Musketeer Code’

“Saya tanya Nadia adakah dia pasti penonton boleh terima atau tidak saya membawakan watak Gibbs (lakonan Randy),” ujarnya. 

Sementara itu, Nadia memberitahu pihak produksi terpaksa mencari pengganti Randy disebabkan aktor berkenaan mempunyai komitmen kerja yang panjang di Indonesia. 

Kata Nadia, dia memilih Ben kerana merasakan personaliti dimiliki pelakon itu sangat dekat dengan karakter dalam novel asal.

Takut itu ada kerana penonton akan bandingkan kami. Tapi tak mengapa, saya anggap sebagai cabaran. 

BEN AMIR

PELAKON

“Bagi saya sendiri secara peribadi, Ben sangat dekat dengan watak Gibbs versi buku. 

“Jadi kalau tanya saya sendiri sebagai penulis dan pengarah saya sangat berpuas hati dengan pilihan ini,” katanya. 

Sebelum ini, Randy merupakan watak utama yang memegang peranan sebagai Gibbs dalam Gantung The Series yang disiarkan pada 2018.

Dari kiri: Randy, Hafreez, Brandon dan Ikmal dalam drama Gantung The Series.

Dari kiri: Randy, Hafreez, Brandon dan Ikmal dalam drama Gantung The Series.

Drama siri tersebut diadaptasi daripada novel Gantung hasil karya Nadia sendiri mengangkat kisah empat sekawan iaitu Gibbs, Ray, Troll dan KJ yang merupakan pelajar tahun akhir di salah sebuah sekolah elit. 

Selepas tujuh tahun, ia diangkat ke layar perak menjadi filem Gantung: Musketeer Code terbitan Neddo Works. 

Selain Ben, Gantung: Musketeer Code menampilkan barisan pelakon termasuk Ikmal Amry, Hafreez Adam, Brandon Lim, Shazia Rozaini dan Taufiq Hanafi.

Filem ini akan menemui penonton di pawagan di seluruh Malaysia bermula 5 Jun ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain