MELIHAT perubahan pada tubuh badan semasa konsert Aura: Ernie Zakri - Live In Concert Singapura pada Sabtu lalu membuatkan peminat menyangka penyanyi Ernie Zakri sedang berbadan dua.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut sebaliknya memberitahu baju berkenaan menjadi punca dirinya kelihatan berisi.
Katanya, baju tersebut direka sedikit kembung di bahagian perut membuatkan dia kelihatan seperti sedang hamil.
Ernie disangka sedang mengandung anak kedua.
"Setakat hari ini, ia adalah makanan! Mungkin sebab baju itu juga yang distrukturkan sebegitu.
"Ia memang sedikit kembung di depan, jadi biasalah peminat memang sangat gembira dan apa sahaja berita tentang saya, mereka akan raikan," katanya kepada mStar.
Ernie berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Kisah Penuh Kecewa bersama Anggi Martio yang berlangsung di Petaling Jaya pada petang Rabu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ernie mengakui agak sukar mengenakan penampilan sopan dan menutup aurat sesuai dengan imejnya yang bertudung.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ernie Zakri ‘speechless’ menang Vokal Terbaik AJL39, kebetulan konsep persembahan seperti Ariana Grande
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ernie Zakri pilih kunci mulut, luahan kecewa di X bukan gimik lagu baharu
Namun dia percaya pereka fesyen sudah melakukan tugas cemerlang dalam menghasilkan busana pada malam tersebut.
"Kadang-kadang bila berhijab ini ada satu kesukaran sedikit untuk berfesyen. Jadi, mungkin niat pereka fesyen untuk memberikan yang terbaik.
"Saya rasa okay tapi kalau peminat sangka saya mengandung, saya terima sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, Ernie turut tidak menolak sekiranya diberikan rezeki cahaya mata kedua dalam masa terdekat.
Ernie bersama Anggi di sidang media lagu duet mereka.
Pun begitu, dia dan suami iaitu Syamel mahu memberi fokus kepada anak sulung mereka iaitu Nur Khawla Soleha,3, yang bakal memasuki tadika tidak lama lagi.
"Apapun saya tidak menolak, jika ada rezeki anak kedua saya okay sahaja.
"Saya dan suami setakat ini masih merancang disebabkan kerjaya dan membesarkan Khawla yang akan masuk sekolah minggu depan," kongsinya.
Untuk rekod, Ernie dan Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, mendirikan rumah tangga pada 22 Mac 2021.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube