LEBIH 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni, penyanyi veteran Datuk Andre Goh meluahkan rasa kesal kerana masih belum berpeluang merakamkan lagu raya sendiri.
Sudah lama menyimpan hasrat, Andre atau atau Goh Eng Boon, 78, berharap impian itu dapat dicapai sebelum dia menutup mata.
“Sebelum ini bila tiba musim perayaan saya hanya menyanyikan lagu-lagu orang. Saya agak ralat kerana tidak pernah mempunyai lagu raya.
“Saya teringin nak rakam lagu raya sendiri sebab kalau sudah tiada nanti, setidaknya setiap tahun akan dimainkan.
“Mungkin generasi akan datang dah tak mahu dengar lagu saya, jadi lagu raya sahaja yang akan mereka dengar walaupun setahun sekali,” katanya kepada mStar.
Andre sudah mencipta dua buah lagu raya dalam simpanan sendiri.
Dalam pada itu, Andre memberitahu dia sudah mencipta dua buah lagu raya yang masih ada dalam simpanannya, namun terpaksa diperam kerana tidak memiliki modal cukup bagi proses rakaman.
Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, dia mahu karya itu dihasilkan dengan kualiti yang baik.
"Nak rakamkan lagu dengan kualiti terbaik sangat mahal. Jika memang saya ada modal memang akan rakam sendiri lagu raya tersebut.
“Saya tidak mahu sekadar ‘tangkap muat’ hanya pakai keyboard biasa. Saya mahu iringan muzik mantap jadi biarlah menjadi satu peninggalan bermakna,” ujarnya.
Tambah Andre dia pernah menyuarakan keinginan tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas positif.
ARTIKEL BERKAITAN: Selalu ucap Alhamdulillah, Andre Goh disangka Muslim
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Alamak Raya Lagi’ kini cecah 50 juta tontonan, Azira Shafinaz harap lagu kekal ‘evergreen’
Dia bagaiamanpun tidak pernah berkecil hati kerana sedar kemungkinan karya-karyanya bukan lagi pilihan industri muzik semasa.
"Saya tidak terkilan, kerana sedar diri dan tahu umur sendiri. Mungkin saya tiada tarikan lagi," luahnya.
Untuk info, Andre merupakan penyanyi bukan Melayu yang cukup terkenal menyanyikan lagu-lagu irama Malaysia.
Antara lagu-lagu popular nyanyian Andre termasuk Mas Merah, Sabariah, Sejak Kita Berpisah dan Harapan Kecewa.
Andre merupakan penyanyi popular era 80-an.
Dalam perkembangan lain, Andre bakal membuat persembahan di Konsert Tradisional 'Simfoni Budaya II' Di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang berlangsung pada 5 Julai ini.
Kata Andre, konsert yang mengangkat irama Melayu Asli ini disifatkan sebagai usaha penting dalam memartabatkan warisan muzik tradisional yang semakin dilupakan.
Kali terakhir beraksi di pentas DFP pada 2013, Andre berharap persembahan rangkuman tradisi muzik yang mengangkat irama keroncong dan ghazal itu dapat menarik penonton dalam kalangan generasi muda.
Selain Andre, konsert dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose itu turut menampilkan Hazra Dollah, Danial Chuer dan Rojer Kajol dan Zehra Zambri.
Peminat boleh mendapatkan tiket konsert dengan harga bermula RM179 hingga RM449.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube