suria

Kieran kembali ‘on air’, hati berbunga dapat sambutan pendengar

Kieran teruja dapat kembali ke konti radio.

SELEPAS 10 tahun menyepi, penyampai radio Kieran kembali mengubat rindu pendengar apabila bertugas separuh masa di sebuah stesen radio.

Kieran atau Maskiran Jakiran, 50, berkata dia tidak menyangka menerima respon positif daripada peminat selepas bersiaran pada Rabu lalu.

Menurut Kieran, kata-kata positif daripada peminat itu menjadikan dirinya lebih bersemangat berkongsi pengalaman melawan kanser prostat.

"Alhamdulillah, komen positif daripada peminat  beri saya lebih semangat. Saya rasa sangat dihargai walaupun sudah lama hilang.

"Hati saya berbunga-bunga bila ada pendengar yang masih ingat pada saya. Ramai yang kongsi kata sudah dengar suara saya sejak kecil, sedikit sebanyak terubat bila dengar ucapan begitu.

"Sebelum ini saya memang takut-takut untuk kembali aktif tapi bila dapat banyak kata-kata positif saya sangat gembira," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu pura-pura kuat lawan kanser, Kieran semakin sihat selepas jalani kimoterapi

ARTIKEL BERKAITAN: Kuat melawan kanser, Kieran sebak masih diberi peluang bertemu Ramadan tahun ini

Berkongsi pengalaman hari pertamanya, Kieran mengakui sedikit gelabah kerana sudah lama meninggalkan konti radio.

"Memang seronok dan rindu nak siaran langsung semula selepas tinggalkan dunia radio hampir 10 tahun. Hari pertama agak mengelabah sikit sebenarnya.

"Alhamdulillah saya dapat melalui dengan baik walaupun agak kelam kabut," ujarnya.

Dalam pada itu, Kieran memberitahu dia kini hanya mendengar nasihat doktor yang merawatnya dalam menjalani rutin harian.

Kieran sudah dibenarkan menjalani hidup seperti biasa.

Walaupun dia sudah dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti namun doktor mengesan sel kanser masih ada di beberapa kawasan selepas membuat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) sebanyak dua kali.

"Selepas menjalani pembedahan membuang sel kanser bahagian kiri prostat pada Februari lalu, tapi selepas lakukan CT Scan, doktor mengesan ada sel kanser di sekitar jantung dan tulang belakang. 

"Tapi sel itu tidak merebak cuma saya masih perlu menjalani pemantauan tiga bulan sekali. Dari segi tenaga pun masih belum pulih sepenuhnya," kongsinya.

Untuk info, Kieran kini bertugas sebagai penyampai radio pada setiap Rabu, pukul 10 pagi di Kool 101.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain