suria

Pernah kurus sampai nampak tulang, Yasin Sulaiman makin sihat tinggal di Hospital Bahagia

Yasin dilihat semakin sihat sejak berada di Hospital Bahagia.

PENYANYI Yasin Sulaiman yang ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, Perak kelihatan semakin sihat dan ceria. 

Malah berat badannya semakin berisi berbanding ketika kes dadah melibatkan dirinya sedang dibicarakan di mahkamah. 

Penampilan terbaharu Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 50, itu dikongsi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan iaitu Muhammad Kamil Abdul Munim ketika menziarahi penyanyi itu di HBUK pada Khamis. 

Kunjungan tersebut dilakukan selepas Kamil terlibat dalam menghadiri beberapa program komuniti di kawasan Parlimen Tambun, mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Zain mengakui Yasin pernah terlalu kurus sehingga nampak tulang.

"Diberi kesempatan untuk menziarahi sahabat yang juga seorang pejuang, saudara Yasin Sulaiman yang kini berada di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan (Perak)," katanya dalam perkongsian di Instagram mliknya. 

Dalam perkongsian itu, Muhammad Kamil turut menyelitkan beberapa rangkap lagu Sepi Perantau yang pernah dipopularkan Yasin ketika bersama kumpulan Brothers. 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersyukur melihat keadaan Yasin yang semakin sihat dan mendoakan segala urusan penyanyi itu dipermudahkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman kekal bebas hukuman penjara dan sebat, kembali ke Hospital Bahagia

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup, 16 sebatan atas tiga kesalahan dadah

Terdahulu, Yasin pernah kehilangan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg) kerana menghidap penyakit tiroid ketika berada di penjara sejak November 2022.

Malah abang Yasin iaitu Zain Sulaiman mengakui adiknya itu terlalu kurus sehingga menampakkan tulang.

Pada 28 April lalu, Yasin menarik nafas lega apabila kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

 

Kamil ketika berjumpa dengan Yasin di Hospital Bahagia.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.

Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin ditempatkan di HBUK selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada 22 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan pelantun lagu Mimpi Laila itu. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain