suria

Dikecam tak sesuai jadi pengganti Awal Ashaari dalam ‘Impak Maksima 2’, Arfie Shah sedia terima kritikan

Arfie ambil kecaman dari sudut positif.

PELAKON Arfie Shah tidak ambil hati dengan kritikan netizen yang menganggap dirinya tidak layak menggantikan Awal Ashaari sebagai watak utama dalam filem Impak Maksima 2.

Menurut Arfie atau nama sebenarnya Ad Wafri Shaharuddin, 32, dia bersyukur atas peluang yang diberikan dan berharap jika ada sekuel ketiga dia dapat bergandingan dengan Awal di layar yang sama.

Arfie (kiri) menjadi teraju utama bagi Impak Maksima 2.

“Sedikit pun saya tak terasa hati dengan kecaman diterima, bagi saya itu normal.

“Tak dinafikan Awal berjaya menjadi pencetus fenomena Impak Maksima, jadi saya rasa bersyukur diberikan peluang menggalas tanggungjawab sama untuk sekuel kedua ini. 

“Insya-Allah kalau ada Impak Maksima 3 mungkin kami akan digandingkan dalam satu naskhah,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelissa Nizam bukan anak emas Ahmad Idham, sudah lakukan empat projek bersama

ARTIKEL BERKAITAN: Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal

Enggan mengambil pusing kecaman diterima, Arfie sebaliknya menjadikan kritikan dilemparkan sebagai batu loncatan buatnya untuk terus berjaya pada masa depan.

“Netizen ada hak untuk bercakap apa sahaja mereka mahu, memang ada terasa tekanan sebab filem ini sudah berusia 18 tahun baru ada sambungan.

“Tapi setiap kritikan yang diterima saya tak pernah anggap ia sebagai suatu perkara buruk sebaliknya membina keyakinan saya untuk buat lebih baik pada masa depan,” ujarnya.

Awal merupakan pelakon utama bagi Impak Maksima yang pertama.

Impak Maksima 2 mengangkat kisah dunia permotoran dan merupakan kesinambungan daripada filem pertama francais itu yang ditayangkan pada tahun 2007.

Selain Arfie, filem Impak Maksima 2 turut dibintangi pelakon lain seperti Nelissa Nizam, Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, Opie Zamie, Fad Bocey dan ramai lagi.

Filem tersebut akan mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 17 Julai depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain