SUSULAN dakwaan kononnya tidak mempedulikan anak sulung hasil perkahwinan terdahulu, pelakon Fizo Omar mendedahkan dia hanya diberi kebenaran untuk bertemu anaknya, Wan Maryam, 8, sebanyak empat hari dalam sebulan.
Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 40, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan luahan hati anaknya itu kerana menganggap ia reaksi normal seorang kanak-kanak.
"Anak saya baru 4 orang, cuma bezanya Maryam tinggal dengan ibunya. Masa untuk saya meluangkan waktu dengan Maryam agak terhad kerana dapat bertemu empat hari dalam sebulan.
"Mudah kata saya tidak dibenarkan untuk berjumpa anak pada waktu lain, sebaliknya hanya perlu mengikut tempoh sudah ditetapkan. Sudah lapan tahun seperti ini.
Fizo (kiri) dan isteri merakamkan foto bersama Maryam (kanan).
"Mungkin dia (Maryam) berasa macam itu (tidak disayangi). Bukan saja Maryam, anak-anak yang tinggal serumah dengan saya kadang-kadang pun cemburu apabila saya peluk adik mereka," katanya kepada mStar.
Menurut Fizo, hubungannya dengan Maryam tidak mempunyai sebarang masalah sebaliknya mereka masih hidup dalam sebuah keluarga bahagia.
Kata Fizo, dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik dalam membahagikan kasih sayang kepada anak-anak.
"Alhamdulillah kami sekeluarga bahagia, semuanya baik-baik sahaja. Kasih sayang semuanya sama, cuma netizen saja yang dakwa anak saya kurang diberi kasih sayang.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak Fizo Omar rasa diabaikan, netizen pula kata biasalah anak sulung memang ‘drama’
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sorok jantina bayi, Fizo Omar baru tahu dapat anak lelaki dalam bilik bersalin
"Hakikatnya Maryam terlebih kasih-sayang Alhamdulillah, siapa yang komen keterlaluan itu mungkin dia yang kurang kasih sayang.
"Bagi saya, asalkan kita tahu menjaga keluarga sendiri dan saya jalankan tanggungjawab ia sudah mencukupi.
"Tak perlu untuk mendapat validasi orang luar, apa yang saya buat adalah untuk kepuasan dan kebahagiaan keluarga sendiri," ujarnya.
Bercakap soal komen yang diterima menerusi media sosial, Fizo memberitahu dia enggan mengambil pusing dengan kritikan netizen kerana tidak mahu hidup dalam persekitaran toksik.
Saya tidak dibenarkan berjumpa anak pada waktu lain.
FIZO OMAR
PELAKON
"Mungkin orang yang komen itu tidak berfikir panjang dan tak memahami situasi ini (fasal anak), disebabkan itu saya tak pernah ambil pusing dengan komen di media sosial.
"Lagipun saya sendiri tidak ambil tahu apatah lagi membaca komen-komen netizen ini. Saya tidak mahu perkara toksik seperti ini menganggu kehidupan kami seharian.
"Orang cerdik akan fikir logik, mana ada bapa tak sayang anak. Saya tak mahu layan omen-komen netizen," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila Maryam meluahkan perasaan sedih menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok milik ibunya iaitu usahawan Mawar Karim.
Fizo enggan mengambil pusing dengan komen netizen di media sosial.
Dakwa Maryam, dia sudah tidak menyukai bapanya itu kerana kurang meluangkan masa bersama.
Untuk rekod, Maryam merupakan anak hasil perkahwinan Fizo bersama Mawar pada 2013 sebelum bercerai pada 2019.
Kemudian, Fizo kembali bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan Fazeera Nazri Azrai pada Oktober 2021.
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Wan Khaleeda, 3, Wan Umaira, 2, dan seorang lagi anak lelaki yang baharu sahaja dilahirkan pada 17 Jun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube