suria

FFM34 iktiraf filem genre aksi, pemenang bakal bawa pulang RM5,000

Teo Nie Ching (tengah), bersama Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

SATU kategori baharu diperkenalkan sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang dijadualkan berlangsung pada 8 November depan. 

Sebagai pengiktirafan terhadap kebangkitan filem genre aksi, Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik dipertandingkan untuk mengangkat keberanian dan kesungguhan anak seni dalam melakonkan babak sebegitu. 

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, ia juga akan menjadi penghargaan buat pengkarya selepas meraih pencapaian nilai tontonan tinggi menerusi filem-filem yang mempamerkan babak aksi. 

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, umum pengiktirafan terhadap kebangkitan filem genre aski.

“Ia merupakan pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan profesionalisme para karyawan dalam menjayakan adegan aksi yang mencabar namun selamat dan berkualiti. 

“Lonjakan ketara penerbitan filem aksi tempatan menunjukkan bukan sahaja ada peningkatan dari segi teknikal dan keselamatan, tetapi juga pencapaian nilai tontonan yang tinggi.

“Justeru, kategori ini diperkenalkan untuk meraikan usaha luar biasa tenaga produksi, pasukan teknikal dan para pelakon lagak ngeri yang sering berada di barisan hadapan babak berisiko tinggi,” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Karya tempatan beri saingan sengit, tujuh filem hebat bolos kategori Filem Terbaik FFM33

ARTIKEL BERKAITAN: Calon Filem Terbaik FFM33 ditayangkan secara percuma selama 5 hari

Teo Nie Ching berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media FFM34 yang diadakan di Finas, Hulu Klang, Kuala Lumpur pada petang Selasa. 

Dalam majlis berkenaan turut diumumkan pemenang bagi kategori tersebut akan membawa pulang trofi khas serta wang tunai bernilai RM5,000.

Sementara itu, Pengarah Festival Filem Malaysia ke-34, Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad berkata penyertaan FFM34 telah dibuka bermula 8 Julai sehingga 18 Julai 2025.

“Kami jemput mana-mana karya yang diterbitkan bermula 1 Julai 2024 hingga 30 Jun tahun ini untuk menghantar penyertaan,” jelasnya.

Teo Nie Ching (tengah), bersama Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib

Sidang media ini turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan presiden persatuan-persatuan serta penggiat-penggiat industri.

Mengangkat tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, FFM34 meraikan kepelbagaian gaya penceritaan dan keberanian dalam mengeksplorasi sempadan baharu seni visual.

Tema ini mencerminkan penghargaan terhadap kreativiti tanpa batas dan dinamisme sinema sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden, selari dengan perkembangan teknologi dan realiti sosial masa kini.

FFM34 akan berlangsung pada 8 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media.

Berikut merupakan 30 kategori yang dipertandingkan dalam FFM34:

1. Filem Terbaik

2. Pengarah Terbaik

3. Pelakon Lelaki Terbaik

4. Pelakon Wanita Terbaik

5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

7. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik

8. Pengarah Harapan

9. Pelakon Lelaki Harapan

10. Pelakon Wanita Harapan

11. Cerita Asal Terbaik

12. Lakon Layar Terbaik

13. Sinematografi Terbaik

14. Penyunting Terbaik

15. Penataan Bunyi Terbaik

16. Penataan Seni Terbaik

17. Kesan Khas Visual Terbaik

18. Skor Muzik Terbaik

19. Lagu Tema Terbaik

20. Tatarias/ Solekan Terbaik

21. Rekaan Kostum/ Busana Terbaik

22. Poster Terbaik

23. Filem Pendek Terbaik

24. Dokumentari Terbaik

25. Anugerah Khas Karyawan

26. Anugerah Khas Sepanjang Zaman

27. Anugerah Khas Juri 1

28. Anugerah Khas Juri 2

29. Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik (kategori baharu)

30. Anugerah Khas Filem Box Office

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain