suria

[V] Adik Mael kecewa individu petik nama arwah untuk guna jenama XPDC

ADIK kepada Allahyarham Mael XPDC iaitu Syed Ali Syed Ibrahim kesal apabila terdapat pihak memetik nama abangnya yang memberi lampu hijau untuk pihak lain menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Real XPDC.

Syed Ali, 52, berkata, individu terbabit mendakwa penubuhan kumpulan mereka itu mendapat kebenaran daripada Allahyarham Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim, namun sebegai ahli keluarga dia membantah kenyataan tersebut sekerasnya.

Dakwa Syed Ali, dia menganggap individu yang menggunakan nama XPDC itu hanya mahu mengambil kesempatan dalam mencari perhatian untuk membuat persembahan pentas.

“Mereka mendakwa ada dapat restu daripada arwah. Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini satu perkara menyedihkan kerana arwah abang saya tidak pernah merestuinya.

Syed Ali berharap tiada lagi individu membabitkan nama arwah Mael selepas ini.

Syed Ali berharap tiada lagi individu membabitkan nama arwah Mael selepas ini.

“Mereka sewenangnya menjaja nama arwah abang saya. Kami sedih kerana pihak ini tidak menggunakan cara beradab dengan pihak yang pemilik jenama XPDC.

“Apa yang buat kami kecewa apabila mereka gunakan dengan tujuan membuat persembahan dan mencari perhatian. Ini satu perkara tak beradab,” katanya kepada mStar.

Dalam masa sama, Syed Ali memohon agar semua pihak menghormati abangnya dan tidak menggunakan nama arwah bagi tujuan meraih keuntungan dan publisiti.

“Janganlah jaja nama orang yang sudah tiada, apatah lagi atas dasar jana pendapatan dan raih populariti. Ini membuatkan kami kecewa.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hanya lapan individu dibenarkan guna jenama XPDC

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Vokalis XPDC Mael meninggal dunia akibat sesak nafas

“Kalau betul mereka rapat dan sayang arwah, patut hormati legasi yang arwah tinggalkan dengan cara beradab. Kalau hendak panggil (dapatkan kenyataan) tuan badan pun sudah meninggal dunia.

“Jadi mereka gunakan nama arwah abang sebagai modal dan senjata. Kalau hendak bersaing, buatlah dengan cara sihat bukan dengan cara begini. Saya harap berhenti dan insaflah,” ujarnya.

Tidak mahu isu ini terus berlarutan, Syed Ali memberitahu dia ada mengajak individu terbabit untuk berjumpa namun masih tidak menerima sebarang maklum balas.

“Saya pernah ajak datang jumpa sebab geram dengan tindakan mereka. Jadi, bila perkara ini berlaku saya sangat terkilan kerana mahu ajak jumpa tapi tiada jawapan.

Mereka mendakwa ada dapat restu daripada arwah. Saya menafikan sekeras-kerasnya.

SYED ALI SYED IBRAHIM

ADIK MAEL XPDC

“Semua orang ada hal peribadi, cuma jangan gunakan untuk tujuan tertentu seperti kaut keuntungan. Jangan gunakan nama arwah abang saya untuk tujuan tak benar dan alasan tak munasabah,” katanya.

Untuk info, Mael meninggal dunia pada usia 55 tahun selepas mengalami sesak nafas ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor pada 27 April 2023.

Pada Rabu, syarikat rakaman Life Records hanya mengiktiraf lapan individu sebagai anggota rasmi kumpulan XPDC sejak penubuhan mereka pada 1988.

Lapan individu tersebut termasuk Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael), Mohd Zulkifly Nik Hussin (Izo), Azuar Md. Tasi (Zuar) dan Rosly Abdul Samat (Lee Space).

Hanya lapan individu dibenarkan menggunakan jenama XPDC.

Hanya lapan individu dibenarkan menggunakan jenama XPDC.

Manakala empat individu lagi ialah Suhaimi Abu Bakar (Amy), Mohd Ali Ismail (Ali), Saiful Rizla Kamarudin (Lola) dan Amran Marsiman (Yan).

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila sebuah kumpulan memperkenalkan diri sebagai Real XPDC.

Kumpulan terbabit secara aktif membuat persembahan, mempromosikan konsert dengan menggunakan nama XPDC dalam pelbagai bahan promosi tanpa kebenaran atau pengesahan rasmi daripada pemilik hak.

Meskipun mereka menggunakan istilah 'Real' sebagai pengubah suai, hakikatnya nama XPDC masih digunakan secara utama menyebabkan kekeliruan awam dan berpotensi menimbulkan tanggapan salah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain