suria

Awie, Afdlin Shauki dilantik sebagai Leftenan Kolonel Bersekutu APM

Awie dilantik sebagai Leftenan Kolonel Bersekutu APM.

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menganjurkan Majlis Penyerahan Watikah Briged Seni Kreatif APM di Studio Sound Stage, Finas, Hulu Kelang, Kuala Lumpur pada malam Khamis. 

Dua selebriti terkenal tanah air iaitu Datuk Awie dan Datuk Afdlin Shauki telah dilantik sebagai Leftenan Kolonel Bersekutu APM bagi menerajui pasukan mobilisasi bersepadu yang menggabungkan elemen seni persembahan, komunikasi visual dan kreatif. 

Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, dia tidak menyangka dilantik sebagai ahli APM bersekutu dan berharap dapat menyalurkan ilmu serta pengalaman dalam menjayakan kerjasama ini. 

Majlis Penyerahan Watikah Briged Seni Kreatif APM berlangsung di Studio Sound Stage, Finas.

"Pertama sekali saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana tidak pernah terfikir untuk menyarungkan uniform kembali sewaktu di sekolah rendah. 

"Alhamdulillah saya juga dilantik sebagai penasihat untuk Briged seni kreatif. Insya-Allah saya akan cuba berkongsi ilmu dan pengalaman untuk menjayakan kerjasama ini," katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Awie turut mengharapkan keahlian daripada penggiat seni ini mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu perlahankan kerjaya seni, Awie reda Wings ada vokalis baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Semua dah ‘move on’ orang luar tak perlu sibuk... Awie ulas kenyataan mahu Wings kembali bersatu

"Kalau nak mengharapkan kepada keahlian sahaja tidak mencukupi, sebaiknya mana-mana ahli bersekutu turut serta dalam kursus tertentu. 

"Mereka boleh menggunakan ilmu dan khidmat ini di kawasan rumah tanpa menyusahkan banyak pihak kerana meraka sudah tahu macam mana nak tangkap ular, binatang berbisa semantara nak menunggu APM atau bomba tiba,"katanya. 

Selain Awie dan Afdlin, pelakon Adam Shah turut dilantik sebagai Leftenan Bersekutu APM, manakala Raja Afiq dan isterinya, Soffwany Yusoff ditauliahkan Mejar Bersekutu APM. 

Wartawan mStar Mohd Faiz Izzat Shaihidi turut dilantik sebagai Leftenan Bersekutu APM selepas menamatkan Latihan Asas Briged Seni Kreatif selama tiga hari di Langkawi, Kedah pada 4 hingga 6 Julai lalu. 

Wartawan mStar turut dilantik sebagai Leftenan Bersekutu APM.

Watikah pelantikan secara rasmi ini sebagai satu inisiatif menghimpunkan penggiat seni dan kreatif menjadi sebahagian daripada gerakan sukarelawan negara melalui sumbangan tenaga dan kepakaran mereka. 

Briged ini turut berperanan sebagai medium strategik dalam memperluaskan capaian maklumat dan menyampaikan mesej secara kreatif serta bekesan kepada masyarakat melalui pelbagai platform seni. 

Majlis pelantikan watikah ini turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk KPj Aminurrahim Mohamed; Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin; Setiausaha Politik Menteri Komunikasi, Izhar Yusof; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain