USAHAWAN dan pengasas podcast Apa Cerita, Asyraf Khalid menganggap kontroversi melibatkan dirinya di media sosial bukan sahaja mencalarkan imej malah menjejaskan periuk nasi sebagai ahli perniagaan.
Asyraf, 33, berkata, serangan hantaran yang dimuat naik penyanyi rap Caprice didakwa memberi impak negatif termasuk menerima tanggapan buruk daripada orang ramai sehingga dirinya dilabel sebagai pedofilia serta menjadi mangsa ‘body shaming’.
Ini susulan serangan dibuat Caprice terhadap dirinya di media sosial selepas menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa individu dalam audio siar Apa Cerita sebagai tetamu jemputan.
Asyraf ditemani peguamnya untuk tindakan undang-undang.
“Benda yang dia (Caprice) lakukan sudah mengganggu periuk nasi saya sebagai usahawan, pemegang saham dan ia mempengaruhi orang lain untuk memberi gambaran buruk terhadap saya.
“Kalau libatkan saya seorang tidak mengapa, tetapi sampai menyebut nama bapa saya… kenapa perlu seret keluarga saya dalam hal ini?” katanya kepada mStar.
Asyraf berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media khas yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Meskipun siaran episod berkenaan telah ditangguhkan sebagai langkah meredakan keadaan, serangan terhadap dirinya tetap diteruskan oleh Caprice sehingga mendorong Asyraf tampil mempertahankan diri secara terbuka.
ARTIKEL BERKAITAN: Asyraf Khalid puji bapa tak salah pilih isteri, Siti Nurhaliza sanggup berkorban jaga Datuk K ketika sakit
ARTIKEL BERKAITAN: Podcast bincang isu Fattah dan Fazura buat netizen bengang, Tya Ariffin dan Asyraf Khalid diminta jaga rumah tangga sendiri
Katanya, dia tidak pernah berniat untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya hanya mahu membersihkan nama dan keluarga.
“Saya tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi mencabar mana-mana pihak. Tetapi apabila serangan dilakukan secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja terhadap saya, malah keluarga, saya tidak boleh terus berdiam diri.
“Ini bukan lagi soal kandungan media sosial, ini soal maruah dan keselamatan,” ujarnya.
Asyraf bagaimanapun telah membuat satu laporan polis pada Khamis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan kini sedang dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak terlibat.
Tindakan ini saya ambil bukan kerana dendam.
ASYRAF KHALID
USAHAWAN
“Tindakan ini saya ambil bukan kerana dendam, tetapi saya perlu mempertahankan nama baik, keluarga, dan pasukan saya yang bekerja keras selama ini.
"Saya tidak akan membiarkan sesiapa menjatuhkan saya semata-mata untuk mengejar populariti murahan,” jelasnya.
Sementara itu, peguam mewakili Asyraf iaitu Abdul Hakeem Aiman memaklumkan pihak mereka sedang dalam proses memfailkan saman fitnah terhadap Caprice.
“Kami percaya ini satu perkara wajar untuk dijelaskan oleh Asyraf, tetapi bukan menerusi media sosial. Hasil perbincangan, satu tindakan sivil di bawah undang-undang fitnah akan difailkan dalam masa terdekat.
Asyraf ditemani dua peguamnya untuk tindakan lanjut.
“Namun, kami tidak akan mengulas lanjut berkenaan tindakan undang-undang tersebut demi menghormati proses kehakiman,” katanya.
Terdahulu Caprice atau Ariz Ramli, 37, berang dengan tindakan Asyraf yang menjemput individu berkenaan sebagai tetamu audio siar.
Malah Caprice mendakwa lelaki terbabit pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga.
Penyanyi berkenaan juga turut berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki terbabit.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube