ISU antara Caprice dan usahawan Asyraf Khalid nampaknya masih belum berakhir apabila penyanyi rap itu mula bersuara.
Menerusi hantaran di Instagram, Caprie atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, tampil mempersoalkan tindakan Asyraf yang mengakui dirinya seorang selebriti.
Malah dia juga menyebut beberapa nama artis terkenal tanah air sebagai contoh seorang selebriti kepada usahawan tersebut.
Caprice persoal kenyataan Asyraf.
"Saya cuma nak tahu sejak bila awak ini selebriti? Adakah anda seorang pelakon, mungkin penyanyi? Adakah anda seorang rapper atau mungkin supermodel?
"Saya tak tahu ini berita untuk saya. Sejak bila dan celah mana awak ini selebriti?
"Biar saya beritahu awak apa yang dipanggil selebriti untuk membantu awak, sekiranya awak tidak faham. Fattah Amin, Izara Aishah, M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza, itu betul selebriti," katanya.
Dalam hantaran tersebut, Caprice turut memuat naik sebahagian video Asyraf semasa sidang media yang memaklumkan dirinya mengambil tindakan undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Asyraf Khalid mahu saman Caprice... nama tercalar hingga dilabel pedofilia, jadi mangsa ‘body shaming’
ARTIKEL BERKAITAN: Caprice dedah penyanyi lelaki buat ‘sexual grooming’ terhadap pelakon kanak-kanak... Gesa polis ambil tindakan
Menurut Caprice, dirinya juga salah seorang yang layak dipanggil selebriti memandangkan dia dikenali ramai selain turut mempunyai beberapa buah lagu.
Malah Caprice juga menyarankan Asyraf agar memberhentikan beberapa pekerja yang mencadangkan dirinya untuk membuat sidang media itu.
"Caprice poyo tapi setiap kali saya ke mana-mana orang akan ambil gambar dengan saya seperti di lapangan terbang tadi ada yang memanggil saya. Itu tahap saya.
"Asyraf lain kali sesiapa pun punya idea untuk buat sidang media ini tolong pecat dia. Ini idea yang sangat teruk. Kalau ini idea awak tolong pecat diri sendiri," ujarnya.
Caprice poyo tapi setiap kali saya ke mana-mana orang akan ambil gambar.
CAPRICE
PENYANYI RAP
Di akhir video, Caprice memberitahu dia akan menghubungi Aysraf secara peribadi untuk menyelesaikan kemelut di antara mereka.
"Saya akan hubungi awak nanti dan kita akan berbincang sambil minum kopi," kongsinya.
Sebelum ini, Asyraf memaklumkan dirinya mengambil tindakan undang-undang terhadap Caprice selepas menganggap kontroversi yang berlaku mencalarkan imej malah menjejaskan periuk nasi sebagai ahli perniagaan.
Katanya, serangan hantaran yang dimuat naik Caprice didakwa memberi impak negatif termasuk menerima tanggapan buruk daripada orang ramai sehingga dirinya dilabel sebagai pedofilia serta menjadi mangsa ‘body shaming’.
Asyraf sebelum ini ambil tindakan undang-undang terhadap Caprice.
Terdahulu Caprice meluahkan rasa berang dengan tindakan Asyraf yang menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa individu dalam audio siar Apa Cerita kendaliannya.
Malah Caprice mendakwa lelaki terbabit pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga.
Penyanyi berkenaan juga turut berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki terbabit.